LEBIH empat dekad berkecimpung dalam industri hiburan, Datuk Ramli Sarip pastinya mengumpul pelbagai pengalaman berharga.
Bahkan, penyanyi yang mula mencipta nama bersama kumpulan Sweet Charity ini tetap tampil hebat di pandangan umum kerana bakatnya yang cukup besar sehinggalah hari ini.
Lebih membanggakan, langkah penyanyi berusia 64 tahun yang sinonim dengan gelaran 'Papa Rock' ini, tidak pernah terhenti sebaliknya terus maju sehingga melangkau ke alaf milenium.
Berhajat untuk berkongsi pengalamannya itu, Ramli bakal mengadakan persembahan eksklusif di tujuh universiti terpilih dengan menggunakan jenama Ramli & Nasir University Tour 2016 bermula 27 Februari ini.
Tidak keseorangan, anak kelahiran Singapura itu sebaliknya ditemani penyanyi, komposer, pemuzik dan pelakon yang digelar 'sifu', Datuk M Nasir.
Kata Ramli, persembahan jelajah itu akan membantu mendekatkan dirinya dengan golongan belia yang akan menjadi pewaris negara pada masa datang.
"Persembahan itu bukan sekadar hiburan semata-mata sebaliknya bersedia untuk berkongsi falsafah, kisah suka dan duka serta hala tuju dalam bidang muzik.
"Adalah penting untuk berkongsi ilmu apatah lagi golongan mahasiswa pasti akan melalui satu jalan lain selepas mereka keluar daripada universiti.
"Kadang-kadang apa yang kita belajar di universiti tidak semestinya menjadi pilihan kerjaya kita.
"Macam saya sendiri, saya tidak pernah terfikir akan pergi sejauh ini dalam bidang nyanyian. Jadi, mungkin dengan pengalaman kita selama ini ia dapat memberi perkongsian sejarah terutamanya seni artistik," katanya kepada Zass.
Lebih bermakna, pelantun lagu Teratai ini juga bersedia bersoal jawab dengan penuntut universiti bagi mengisi program Wacana Seni Muzik iaitu aktiviti perbahasan antara Ramli dan M Nasir dengan pelajar pada sebelah siangnya.
"Mahasiswa seharusnya diberikan pendedahan dan perkongsian mengenai kewujudan budaya popular. Ini adalah satu acara yang baik memandangkan kita boleh berkongsi kisah perjuangan, falsafah setiap lagu yang terpilih dan matlamat.
"Bahkan, mereka yang hadir juga boleh bertanyakan apa jua soalan bagi memberikan gambaran yang tepat. Mereka mungkin dalam kalangan pelajar muzik yang bertuah dapat belajar secara formal.
"Sekurang-kurangnya, dengan adanya wacana begini, ia akan memberikan input tambahan kepada peserta yang hadir untuk menempuh kehidupan dunia sebenar," katanya.
Pada masa sama, pelantun lagu Kamelia melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang bagus sementelahan lagi bidang hiburan dilihat sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran.
"Jika dilihat, negara luar seperti Britain dan Amerika Syarikat kerap membuat persembahan di universiti. Malah, di universiti mereka lebih terbuka dengan hiburan popular.
"Jadi, kita cuba membawa dan membangunkannya di sini. Itu adalah harapan kita. Sebelum ini, dalam tahun 1970-an dan 1980-an, sememangnya ada konsert artis di universiti tapi ia dilakukan dalam skala yang kecil.
"Tetapi, kini universiti sendiri juga bijak dalam memilih artis terutamanya berdasarkan populariti dan pengaruh yang tinggi," katanya.
Teruja bergandingan dengan Ramli: M Nasir
Dalam pada itu, M Nasir mengakui teruja dapat bergandingan dengan Ramli dan menyifatkan penglibatannya dalam program seumpama itu sungguh bermanfaat.
Ini kerana, pelantun lagu Mentera Semerah Padi itu menyedari kerjaya seorang penghibur bukanlah hanya memberi hiburan semata-mata.
"Saya rasa sangat berbangga sebab dapat berkongsi ilmu dan pengalaman dengan semua mahasiswa yang terlibat nanti.
"Universiti adalah tempat menuntut ilmu dan kita datang untuk berkongsi ilmu yang ada.
"Saya berharap persembahan itu nanti dapat memberi inspirasi kepada golongan muda terutamanya mereka yang tidak pernah melalui apa yang kita lalui sebelum ini.
Bahkan, M Nasir bersedia untuk berkongsi pengalaman membikin album, tema, lirik, muzik, perjuangan dan budaya yang menjadi tunjang setiap karya.
Sementara itu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), kampus Alor Gajah, Melaka menjadi lokasi pertama penjelajahan dua otai ini, menerusi penganjuran Ramli & Nasir University Tour 2016.
Konsert itu bakal diadakan di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, Melaka, jam 8.30 malam pada 27 Februari ini.
Persembahan jelajah itu akan diteruskan di beberapa universiti lain di seluruh negara seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan penutupnya di sebuah universiti di Singapura yang akan ditetapkan sedikit masa lagi.
Bagi konsert kali ini, harga tiket yang disediakan ialah RM50 untuk pelajar manakala RM70 bagi orang awam.
Tiket boleh di beli di MITC Melaka, Acoustic Merch Station, Lot 1.23 Pertama Complex ataupun secara online menerusi laman web www.iramawarisan.com.