ANTARA calon-calon akhir AME 2016 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur malam ini.
ANUGERAH berprestij industri hiburan tanah air, Anugerah MeleTOP Era (AME) 2016 kembali lagi. Seperti tahun-tahun sebelumnya, kuasa memilih pemenang bagi setiap kategori terletak 100 peratus di tangan peminat.
Bertemakan ‘Satu Undian, Seribu Senyuman’, AME 2016 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur pada pukul 9 malam ini, selain turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Nama-nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza, Zizan Razak, Ayda Jebat, Nabil Ahmad, Emma Maembong, Johan, Shaheizy Sam dan Syamel AF 2015 merupakan antara artis yang mendominasi carta lima pencalonan terakhir apabila tersenarai untuk lebih daripada tiga kategori bagi 16 kategori yang dipertandingkan kali ini.
Lebih mengujakan, senarai Top 5 AME 2016 tahun ini turut menyaksikan pencalonan muka baharu seperti Menteri Belia dan Sukan iaitu Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Zahirah Macwilson, Mark Adam, Azrel Ismail, Syamel, Hafreez Adam, Ezad Lazim dan juga Mira Filzah.
100 peratus undian peminat
Sejak dipertandingkan pada tahun 2014, AME merupakan antara majlis anugerah berprestij yang dinanti-nantikan segenap lapisan masyarakat khususnya penggiat seni yang terlibat dalam bidang muzik, radio, televisyen, filem dan digital.
Ketua Format Dan Program Realiti Astro, Namanzee Harris berkata, pihaknya optimis dengan kelangsungan majlis AME 2016 pada malam ini.
“Kembali lebih segar dan bertenaga untuk tahun yang ketiga, penganjuran AME 2016 adalah untuk meraikan personaliti serta karya paling hit dan meletup merangkumi bidang muzik, radio, televisyen, filem dan digital sepanjang tahun 2015.
“Seperti tahun sebelumnya, 100 peratus kuasa mutlak yang diberikan kepada peminat untuk menentukan siapakah bakal mendominasi AME melalui undian SMS (khidmat pesanan ringkas), undian secara online ataupun menerusi aplikasi terbaharu iaitu Raku,” ujarnya.
Pada tahun ini juga katanya, menyaksikan kehebatan luar biasa apabila jumlah peratusan undian yang diterima untuk fasa pertama bagi kategori Drama MeleTOP, Lagu MeleTOP, Pelakon MeleTOP dan Penyanyi MeleTOP meningkat secara mendadak.
“Peningkatan jumlah undian tersebut jauh lebih tinggi berbanding dua tahun sebelumnya. Justeru, sebagai penganjur AME, kami berasa teruja menyaksikan peningkatan ini kerana secara tidak langsung ia membantu mengukuhkan kedudukan AME sebagai satu anugerah terunggul pilihan penonton.
“Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan selamat berjaya kepada kesemua yang telah disenarai pendek untuk mara ke pusingan akhir,” ujarnya lagi.
Hos AME 2016
Tidak dapat dinafikan, kehangatan AME 2016 tidak akan lengkap tanpa kehadiran pengacara tersohor yang menjadi tunjang utama pada malam penuh bersejarah itu kelak.
Tahun ini, tanggungjawab mengemudi acara terunggul itu diberikan kepada Datuk AC Mizal, Nabil Ahmad, Neelofa dan Jihan Muse. Penglibatan dan aura mereka ketika mengacarakan acara-acara besar sememangnya tidak boleh disangkal lagi apabila deretan anugerah memenuhi portfolio seni kerjaya keempat-empat pengacara popular ini.
Lebih mengujakan, tanda tanya sama ada puteri kesayangan Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya, Lara Alana bakal terlibat menjadi hos turut terjawab malam ini.
Pengurus Kandungan ERA fm, Nazri Noran berkata, pihaknya sentiasa menyokong sepenuhnya segala aktiviti yang akan dilaksanakan menjelang tirai AME 2016 malam ini.
“Keluarga ERA fm akan berada di lokasi-lokasi yang telah ditentukan untuk menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
“Memainkan peranan yang penting sebagai sebuah stesen radio yang berpengaruh, kami turut sentiasa mengerah tenaga dalaman radio dari pelbagai sudut kerja termasuklah tenaga promosi dan acara, tenaga program, media sosial yang akan sentiasa memberikan informasi secara langsung mengenai AME menerusi siaran ke udara dan di laman-laman sosial ERA fm seperti Instagram, Twitter dan Facebook,” ujarnya.
Persembahan yang dinanti-nantikan
Dalam pada itu, AME 2016 juga bakal diserikan dengan persembahan bertenaga barisan artis tersohor tanah air.
Antara artis terlibat termasuklah Zizan, Joe Flizzow, SonaOne, DeFAM, Syamel, Siti Nurhaliza, Ayda, Amira Othman, Wanie Kayrie, Helena Harris, Akim, Stacy, KRU, Mark Adam, Iklim, Slam dan juga Ratu Rock iaitu Ella.
Selain itu, pihak Astro dan radio ERA fm turut mengalu-alukan kehadiran Aurawhite Global Sdn. Bhd. yang menghulurkan sokongan selaku penaja utama untuk penganjuran kali ini.
Pemenang bagi setiap kategori AME 2016 bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 berserta sebuah trofi sumbangan Astro.
Pemenang untuk kategori Top Top MeleTOP (Lelaki) dan Top Top MeleTOP (Wanita) pula akan dipilih berdasarkan selebriti lelaki dan selebriti wanita yang menerima jumlah undian tertinggi dalam kalangan lima calon terbaik, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kategori yang dipertandingkan dalam AME 2016 adalah sebanyak 18 buah kategori.
Menjelang acara penuh gilang-gemilang AME 2016 malam ini, berikut merupakan ramalan Sensasi Bintang terhadap pemenang yang dijangka membawa pulang trofi masing-masing.