Luahan cinta Azhael


DUA anak muda yang membentuk nama Azhael yakin mampu pergi lebih jauh dalam industri muzik tanah air.

SEJAK keluar daripada program realiti Akademi Fantasia 2013, nama Azhael boleh dikatakan cukup bertuah. Mana tidaknya, tatkala ada rakan seperjuangan lain mula menunjukkan kesamaran untuk terus bertapak dalam industri hiburan, Azhael kekal dengan momentum asalnya.

Tempoh tiga tahun melayari status sebagai anak seni, pengiktirafan diterima sebagai pemenang trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu menerusi Anugerah Industri Muzik ke-21 yang lalu benar-benar membuktikan kemampuan dua anak muda itu iaitu Mohd. Azhar Osman (Azhar) dan Hal Husaini Razmi (Hael) yang membentuk nama Azhael.

Apa yang pasti, ia bukanlah satu jalan yang mudah. Apatah lagi bergerak secara duo, sememangnya kolaborasi seperti itu memerlukan aspek kerjasama dan sepakat dalam merealisasikan perjuangan mereka dalam dunia nyanyian.

Selepas penerimaan positif menerusi lagu Hujung Waktu, kini Azhael tampil dengan sebuah naskhah baharu untuk peminat. Dianggap sebagai buah tangan untuk permulaan dalam kalendar 2016, lagu Mencinta dikatakan cukup istimewa dalam portfolio mereka sebagai penyanyi.

Ini kerana, ia merupakan pertaruhan pertama mereka dalam mempersembahkan lagu bergenre balada sepenuhnya. Minggu ini Sensasi Bintang membawakan temu bual Azhael dalam satu sesi fotografi untuk berkongsi mengenai lagu nukilan komposer terkenal Omar K itu buat peminat semua:


Boleh kalian kongsikan mengenai penerbitan single terbaharu berjudul Mencinta?

AZHAR: Bagi lagu Mencinta, kita kembali semula kepada komposer Omar K yang merupakan individu sama yang menghasilkan lagu Hujung Waktu sebelum ini. Lagu itu baru lagi diterbitkan lebih kurang sebulan yang lalu.

HAEL: Kita dapat lagu itu penghujung bulan Disember tahun lalu. Kemudian, kami memulakan proses rakaman di studio awal bulan satu. Bahkan kita juga baru sahaja tamat proses penggambaran video muzik lagu itu. Insya-Allah kita akan terbitkan pada minggu depan.

Ini merupakan single keempat kalian. Apakah keistimewaan lagu itu berbanding lagu-lagu yang kalian bawakan sebelum ini?

AZHAR: Ia agak berbeza dengan lagu sebelum ini kerana ia merupakan lagu bergenre balada sepenuhnya. Kalau sebelum ini jika perasan lagu-lagu yang kami nyanyikan berunsur pop balada, tapi kali ini kita beri sedikit sentuhan lain dalam lagu keempat ini.

HAEL: Ia sebenarnya kita hasilkan untuk peminat. Bahkan, liriknya juga cukup istimewa. Alhamdulillah, respons yang kami terima positif.

Mengapakah kalian mahu mencuba untuk membawakan lagu berentak balada. Adakah kalian mahu lari dari genre asal seperti pada awal pembabitan?

AZHAR: Sebenarnya, dengan lagu ini orang akan dapat lihat satu sisi matang baharu Azhael.

HAEL: Kita mahu cuba untuk tunjukkan proses perkembangan diri Azhael sendiri. Kalau sebelum ini, lagu-lagu kita mungkin lebih menjurus kepada sasaran kelompok remaja tetapi kali ini kita mahu nampak lebih universal. Bukan sahaja untuk golongan anak muda, tetapi kita cuba sesuaikan untuk pelbagai lapisan umur juga.

Jika diamati, lagu-lagu kalian tidak pernah lari dengan kisah dan unsur cinta. Ada terfikir untuk lari daripada tema cinta?

AZHAR: Bagi saya, lirik sesebuah lagu itu mesti dekat dengan pendengar. Jadi, seperti yang kita maklum, setiap orang tak pernah lari dengan kisah cinta. Jadi, orang lebih mudah untuk menerimanya. Lagipun, cinta itu universal dan bukan hanya kepada manusia sahaja.

HAEL: Apa yang disampaikan dalam lagu itu berlaku dalam kehidupan kita seharian. Mahu atau tidak, memang orang kita suka akan tema cinta. Sama ada lagu atau drama semuanya juga mengisahkan perihal cinta. Mungkin kalau lagu patriotik itu nanti kami kena tunggu hari yang bersesuaian. Banyak sikit single kami boleh keluarkan (seloroh).

Tadi, kalian ada memberitahu mengenai muzik video lagu itu. Boleh kongsikan mengenainya.

AZHAR: Kita menggunakan khidmat pelakon Puteri Aishah yang juga merupakan peserta Dewi Remaja 2015 dalam pembikinan video muzik itu. Kami ambil masa sehari sahaja dan penggambaran dilakukan di sekitar Kuala Lumpur sahaja.

HAEL: Orang sekarang sukakan sesuatu yang visual, sebab itu kami tidak menunggu lama untuk terus menghasilkannya. Apabila tahu ada satu lagu baharu itu keluar, mereka lebih cenderung untuk menontonnya menerusi laman sosial YouTube. Jadi, apabila kami terus hasilkan muzik video ini, ia akan lebih mudah menarik perhatian umum. Bahkan, kami sendiri pun lakukan perkara sama jika diberi satu-satu lagu itu.

Tidak ramai yang bergerak secara duo di negara ini. Ia bukan satu yang mudah kerana memerlukan persefahaman yang tinggi. Bagaimana kalian melihat kerjasama yang terjalin ini?

AZHAR: Kami sudah terbiasa bekerja berdua. Lagipun, masing-masing sudah faham kerja sendiri dan apa yang perlu dibuat.

HAEL: Azhael adalah kumpulan yang bergerak secara duo tetapi jika ada yang ingin melakukan kerja seperti berlakon secara solo, tidak menjadi masalah. Cuma yang penting ia kena bersesuaian dengan jadual yang sudah ditetapkan. Daripada hal ini, kami tidak menghalang pasangan duo.

Previous Post Next Post