Pekin rancang nikah tahun ini


PELAKON ini sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

RESUME yang dimiliki Pekin Ibrahim dalam portfolio lakonan tidak lagi perlu dipertikai.

Lebih satu dasawarsa bergelumang dalam bidang seni, pastinya Pekin tidak dapat lari daripada berterusan ditebak soalan peribadi termasuk bila masanya dia akan menamatkan zaman bujang.

Mengakui sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga pada tahun ini, Pekin yang kini menemui peminat menerusi filem terbaharunya, Munafik sebaliknya enggan tergesa-gesa memilih calon untuk dijadikan permaisuri hidup.

Kesempatan bertemu pemilik nama sebenar Mohd. Iznan Ibrahim, 35, itu baru-baru ini dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mengetahui perkara itu termasuk perkembangan kariernya selepas ini.


SENSASI BINTANG: Anda dilihat lebih selesa berbicara mengenai perkembangan karier berbanding kisah peribadi. Komen?

PEKIN: Tidak ada perkara menarik untuk dikongsikan, jadi lebih baik berbicara mengenai karier.

Tidak ada sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga?

Sudah tentu. Kehendak itu ada, namun masih belum bertemu jodoh dengan sesiapa. Jika ikutkan, saya mahu menamatkan zaman bujang pada tahun ini, cuma itu hanya sekadar perancangan.

Sudah menemui calon yang sesuai?

Saya sedang mengenali dan berkawan dengan beberapa wanita, namun kesemuanya masih belum di tahap yang serius. Senang cerita, masih di peringkat mengenali hati budi masing-masing.

Adakah ini bermakna anda sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami?

Saya selalu bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga. Jika sudah bertemu dengan gadis pilihan, sudah tentu saya akan terus mahu berkahwin dengannya. Buat apa mahu membuang masa.

Berbalik kepada perkembangan karier. Filem pertama arahan anda iaitu Mat Moto dilihat melakar kutipan memberangsangkan di pawagam. Adakah anda sudah bersedia untuk terus menggalas tanggungjawab sebagai pengarah selepas ini?

Mungkin, saya akan bertindak sebagai penulis skrip dan penerbit terlebih dulu. Ini kerana, saya agak sibuk dengan aktiviti lakonan, selain komited meneruskan kuliah pengajian jarak jauh dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah. Ada beberapa naskhah skrip di tangan saya, namun masih menunggu masa yang sesuai.

Bagaimana pula dengan tawaran menjadi pengarah drama?

Alhamdulillah, saya ada menerima tawaran untuk mengarah telefilem dan drama bersiri, namun saya belum cukup berani untuk menerima tawaran sedemikian. Saya harus belajar dan memahami peraturan sebelum menerima tawaran berkenaan. Bagi mengelak timbulnya masalah, lebih baik saya tolak.

Ada sebarang perkembangan karier yang boleh dikongsikan bersama peminat?

Selain berlakon dalam filem Munafik, saya baru saja selesai menjalani penggambaran filem Volkswagen Kuning. Selain itu, saya juga terlibat dalam dokumentari khas berjudul The Rejection.

Previous Post Next Post