Temjin mengorak langkah


SELEPAS beberapa tahun mencuba, akhirnya single Gua Suka Lu memberi sinar baharu dalam perjalanan karier kumpulan Temjin.

BUKAN mudah untuk menempa nama sebagai sebuah band indie buat masa sekarang, apatah lagi dengan kehadiran banyak pesaing memperjuangkan konsep sama.

Namun, berbeza dengan semangat yang menebal dalam jiwa tiga anak muda iaitu Shukri, Adam dan Azim yang menggelarkan diri mereka sebagai Temjin.

Pada mulanya, kecintaan terhadap jalur muzik rock American sangat menebal dalam diri mereka. Seiring putaran waktu dan mengikut peredaran zaman, Temjin akhirnya mengubah genre muzik mereka kepada universal dan rock moden.

Bertemu dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini, Kosmo! berpeluang mendekati tiga anak muda tersebut bagi menyingkap perihal karier.

Ditanya mengenai nama kumpulan yang dikira agak unik, pemain bass, Azim bertindak mewakili ahli kumpulan memberikan penjelasan. Katanya, Temjin berasal daripada nama asal ketua tentera dan pengasas Empayar Mongol, Genghis Khan iaitu Temujin seperti yang termaktub dalam catatan sejarah.

“Nama tersebut membawa maksud bekerja keras dan ia sangat sesuai dengan aliran muzik yang kami bawakan iaitu daripada rock American kepada rock moden. Malah, nama tersebut juga simbol survival kami untuk bertapak dalam industri.


“Keduanya, nama ini berinspirasikan daripada salah seorang karakter dalam permainan video Virtual On,” ujarnya.

Tidak hanya pada nama, bahkan personaliti Temjin yang kini merupakan artis di bawah naungan syarikat rakaman NSR Records juga diberi kelainan apabila sering tampil dengan pakaian yang menampilkan hiasan atau gambar harimau bintang.

“Sewaktu persembahan, kami memang pakai baju yang ada gambar harimau bintang. Ia sebagai ikon bagi kumpulan Temjin dan sesuai dengan muzik rock yang kami bawa iaitu cheetah rock atau general cheetah. Dalam masa sama, ia sebagai simbol pejuang rock.

“Kalau diikutkan, harimau bintang antara pesaing terkuat binatang seperti singa untuk meneruskan hidup. Sedikit sebanyak ia menggambarkan kesungguhan kami untuk terus bertahan dalam industri,” ujar vokalis kumpulan tersebut, Syukri atau nama sebenarnya, Khairul Syukri Mohd. Ridzuan.

Selepas bertahun membuat percubaan melakar nama dalam industri, akhirnya tahun 2016 membawa sinar apabila single terbaharu berjudul Gua Suka Lu mendapat tempat dalam hati peminat.

Bahkan, lagu bergenre pop rock hasil ciptaan sepenuhnya mereka berjaya menembusi carta di beberapa stesen radio tempatan.

“Alhamdulillah, ia umpama pembakar semangat untuk kami meneruskan agenda muzik yang dibawa. Walaupun langsung tidak menyangka bahawa lagu tersebut akan mendapat perhatian peminat, tetapi kami sangat bersyukur sebab akhirnya usaha kami selama ini sudah berbayar,” ujar Syukri lagi.

Sebelum ini, Temjin pernah mengeluarkan EP berjudul Temjin yang mengandungi sebanyak enam buah lagu.

Ironi, biarpun kurang dikenali namun Temjin sebenarnya pernah meraih beberapa pencapaian yang membanggakan apabila pernah disenarai sebagai lima finalis dalam Project Aloft Star anjuran MTV Asia pada tahun lalu.

“Alhamdulillah, itu antara pencapaian terbaik yang pernah kami dapat dengan memenangi tempat kedua. Bermula daripada situ, ia menjadi tanda aras buat kami untuk meneruskan perjuangan dalam bidang muzik.

“Apa yang penting sekarang ialah fokus untuk masa depan sementelah single Gua Suka Lu sekarang sudah menjadi perhatian. Mungkin selepas ini tanggungjawab kami lebih berat.

“Insya-Allah, kemungkinan dalam masa beberapa bulan lagi kami akan mengeluarkan single kedua pula,” ujar pemain gitar kumpulan itu, Adam.

Previous Post Next Post