KATA SonaOne, dia tidak gusar andai penerbitan album sulungnya ditenggelami bayangan popularitinya bersama Joe Flizzow kerana menyifatkan penyanyi itu sebagai mentor yang bertanggungjawab membawanya ke dalam industri hiburan tanah air.
MENYEDARI penerbitan album dalam bentuk fizikal atau careka padat (CD) agak suram pada ketika ini membuatkan penyanyi hip hop SonaOne hanya mengeluarkan album sulungnya, Growing Up Sucks dalam kuantiti yang terhad.
“Memang menjadi cabaran jika seorang artis mengeluarkan album berbentuk fizikal pada zaman sekarang sebab peminat lebih suka memiliki apa jua jenis lagu dengan cara memuat naik sesuatu produk.
“Tambahan pula, peredaran masa membuatkan muzik juga berubah dan peminat boleh mendapatkan lagu kesukaan menerusi internet.
“Namun saya tetap mengambil keputusan untuk mengeluarkannya dalam bentuk CD biarpun dalam kuantiti sekitar dua atau 300 keping sahaja. Ia khas buat peminat yang ingin memilikinya,” katanya panjang lebar.
Faktor utama dia berbuat demikian kerana menyifatkan pengeluaran album tersebut sebagai tanda nostalgia buat peminat.
Ujar SonaOne, mungkin untuk tempoh 10 atau 20 tahun lagi, album tersebut masih berada dalam simpanan mereka dan pada waktu itulah ia mempunyai nilai yang sangat tinggi.
“ Setidak-tidaknya, saya boleh berbangga kerana ada antara peminat yang memiliki album saya dalam bentuk CD,” jelasnya yang ditemui sewaktu majlis pelancaran album tersebut di Lust KL, baru-baru ini.
Cerita pemilik nama Mikael Adam Lozach itu lagi, perancangan album tersebut sudah bermula sejak tahun 2011 dan secara automatik ia mengambil masa enam tahun untuk disiapkan.
Dalam album yang mengandungi 12 buah lagu baharu dan lama itu, SonaOne turut bertindak selaku penerbit dan penulis lirik.
“Kalau diikutkan, ada beberapa buah lagu dalam album ini yang sudah lama berada dalam pasaran seperti No More dan Who Do It Better. Malah, konsep album ini juga sudah dirancang sejak 2011 lagi tetapi baru sekarang dikeluarkan.
“Agak sukar memilih lagu-lagu yang terbaik untuk dimuatkan dalam album ini.
“Pada mulanya, saya ada sebanyak 30 buah lagu tetapi apabila disemak kembali, hanya 12 lagu sahaja dipilih. Hal itu kerana saya perlu fikir kehendak dan selera pendengar pada masa kini serta kesesuaian konsep album,” ujarnya.
Menyentuh soal judul albumnya yang berbunyi agak kasar, lelaki berusia 28 tahun itu berkata, album tersebut sebenarnya mempunyai isi kandungan yang positif kerana ia merupakan rangkuman kenangannya sewaktu kecil.
Menyifatkan album tersebut sebagai produk peribadi daripada segi pengisian dan judulnya, SonaOne berharap penggunaan perkataan sucks itu tidak dijadikan satu isu besar kerana ia mempunyai kisah tersendiri di sebalik pemilihan perkataan tersebut.
“Saya mengaku, perkataan sucks itu sendiri dianggap tidak elok oleh masyarakat kita, tetapi sebenarnya ia menjadi simbol kepada survival hidup saya sejak kecil. Ia realiti untuk menggambarkan bagaimana survival saya berubah daripada seorang remaja kepada seorang lelaki dewasa.
“Definisi keperitan hidup tidak semestinya hidup melarat atau susah, tetapi bagaimana kita melalui liku-liku hidup sebelum ini,” tegas SonaOne.
Tambah penyanyi itu lagi, kehidupannya mula melalui transformasi sewaktu berusia 22 tahun. Pada waktu itu dia mula sedar tentang banyak komitmen hidup.
“Itu (transformasi) yang dimaksudkan dengan judul album ini,” kata SonaOne menutup bicara.