Afdlin Shauki Buka Restoran Konsep Komedi Di Johor Baru


Afdlin Shauki mahu cari bakat baharu.

Pelakon dan pelawak Afdlin Shauki melebarkan sayapnya dengan menceburi bidang perniagaan dengan membuka sebuah restoran di Kilang Bateri, Johor Baru.

Afdlin atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan, 44, berkata, restoran berkonsepkan komedi yang diberi nama Comedy Planet itu menawarkan makanan tradisional Melayu dan barat dengan penggunaan nama-nama unik.

"Saya memberi kelainan kepada pengunjung dalam hidangan masakan Melayu dan Western yang juga mempunyai nama-nama yang unik selaras dengan konsep komedi.

"Antaranya ialah Sup Tulang Merah Tanda Berhenti, Gado-gado balik rumah, Silence of the lamb shoulder, Air Kera di Hutan Disusukan, Air Pak Leman Kesejukan di Kebun Teh, Dessert Serabai Mabai Terabai K-Bye, Nasi Lemak Konfius Mak Dengan Sambal Squidworth dan banyak lagi," ujarnya kepada mStar Online.



Ruang dalam restoran Afdlin Shauki.

Sementara itu, tambah Afdlin lagi, restoran tersbeut juga menawarkan ruang pentas untuk hiburan jenaka, puisi, imrovisasi dan apa juga persembahan ringan.

"Sekarang ini saya lihat kebanyakan pusat hiburan di serata Malaysia menumpukan kepada persembahan kugiran dan nyanyian sahaja.

"Saya ingin membawa kelainan di sini iaitu dengan menyediakan pentas untuk hiburan jenaka, puisi, improvisasi dan perkongsian di persembahkan," ujarnya.

Tambah Afdlin, dia turut mengundang pelawak-pelawak terkenal untuk membuat persembahan di restoran berkenaan.


Bahagian luar restoran di Kilang Bateri.

Katanya, dia juga membuka peluang kepada rakyat Johor yang boleh berjenaka dan ingin menonjolkan bakat mereka di pentas restoran tersebut.

"Comedy Planet juga akan membuka peluang kepada orang ramai yang boleh berlawak dan mencuba menonjolkan bakat mereka pada malam Open Mike di mana pelawak-pelawak amatur di beri ruang untuk memenangi hadiah wang ringgit untuk persembahan mereka," ujarnya.

Restoran tersebut akan dirasmikan pada majlis yang akan diadakan pada 24 Mac ini dengan dihadiri pelawak Harith Iskandar dan Douglas Lim.

Previous Post Next Post