Amy Adams mahu terus jadi pelakon


Amy Adams

SEBAGAI seorang selebriti, tidak kiralah sama ada wanita mahupun lelaki dituntut untuk sentiasa berpenampilan sempurna.

Sehubungan itu, bagi terus mempertahankan proses ‘kecantikan’, pasti saja pelbagai kaedah akan dilakukan termasuklah penggunaan botox.

Masalah sama turut dirasai oleh aktres, Amy Adams apatah lagi sebelum ini wajah menawannya persis puteri bukan lagi asing di kalangan peminat seni Hollywood mahu pun tempatan.

Menginjak usia 41 tahun, pemilik nama penuh, Amy Lou Adams ini mengakui wajahnya cepat berubah malah tanda-tanda penuaan juga semakin kelihatan.

Namun, anak kelahiran Vicenza, Itali, ini tidak cepat melatah bahkan terus bersemangat untuk menjadi seorang pelakon yang disegani.

“Saya berharap saya masih boleh terus berlakon walaupun wajah saya semakin dimamah usia.

“Saya sedar, di kaca TV sendiri semakin ramai orang baharu. Ya, saya mengenali mereka, tetapi mereka juga memerlukan masa yang lama untuk memperbaiki diri, “ katanya kepada majalah Saturday.

Meskipun begitu, Adams tetap laris sebagai bintang Hollywood.

Buktinya, ibu satu anak itu itu tidak hanya tampil sebagai pelakon tetapi juga menjadi penyanyi dan model.

Malah, Adams mengakui tidak suka menjadi perhatian ramai dan semua ini hanya dilakukannya sebagai memenuhi tuntutan ketika bekerja.

“Selepas menjadi seorang ibu, saya lebih suka menjadi seorang yang sangat simple. Itu sudah mencukupi,” katanya.


Warisi bapa

Darah seni yang mengalir dalam tubuh Adams, diwarisi daripada bapanya, Richard Adams yang juga seorang tentera di Amerika Syarikat.

Mengimbas kembali perjalanan seninya, isteri kepada pelakon, Darren Le Gallo ini memulakan kariernya pada 1999 selepas aktif bergiat dalam seni teater.

Pun begitu, Adams mula meraih perhatian sejak filem muzikal fantasi romantik lakonannya, Enchanted (2007) meraih kutipan tiket yang cukup membanggakan.

Bahkan, Adams turut menjadi sebutan sejak kali pertama dicalonkan untuk Oscar pada 2006 bagi kategori Aktres Pembantu Terbaik menerusi filem Junebug.

Kerjaya lakonannya juga berada di tahap yang cukup membanggakan apabila dinobatkan sebagai Aktres Terbaik bagi kategori Filem Komedi atau Muzikal di Anugerah Golden Globe menerusi filem American Hustle (2013) dan Big Eyes (2014).

Sehingga hari ini, Adams sudah membintangi lebih 50 filem antaranya Pumpkin (2002), Catch Me If You Can (2002), The Last Run

(2004), The Wedding Date (2005), Talladega Nights: The Ballad of Ricky Bobby (2006), Charlie Wilson’s War (2007), Miss Pettigrew Lives for a Day (2008), Leap Year (2010), The Fighter (2010/I), The Muppets (2011), On the Road (2012), Trouble with the Curve (2012) dan The Master (2012).

Kembali jadi Lois Lane

Sebelum ini, Adams pernah tampil sebagai wartawan di syarikat akhbar terkenal, Daily Planet dan kekasih Superman menerusi filem pecah panggung, Man Of Steel.

Kali ini, watak itu dikembangkan menerusi filem terbarunya, Batman V Superman: Dawn Of Justice.

“Saya sangat suka dengan watak itu. Menjadi Lois Lane seperti hak istimewa yang nyata kepada saya.

“Saya tidak pernah berharap akan dipilih untuk memegang watak ini,” katanya.

Selain Adams, filem arahan Zack Snyder itu masih mengekalkan watak Superman kepada aktor tampan, Henry Cavill manakala watak Batman pula dibawakan oleh aktor, Ben Affleck.

Filem aksi itu turut dibintangi oleh Jason Momoa, Jeremy Irons, Jesse Eisenberg, Laurence Fishburne dan Gal Gadot.

Batman V Superman: Dawn of Justice mengisahkan bagaimana Batman mahu menumpaskan Superman kerana bimbang dengan tindakan Superman. Sementara bertempur, Lex Luthor pula mencipta ancaman baru iaitu Doomsday. Kedua-duanya perlu mengenepikan perbezaan mereka dan bersama dengan Wonder Woman bagi menghentikan rancangan Lex Luthor daripada memusnahkan Metropolis.

Previous Post Next Post