Fouziah Gous Tiada niat popularkan anak


Fouziah Gous tidak terasa namanya dikaitkan sebagai individu yang cemburu dengan gaun cantik perkahwinan Anzalna

Baru-baru ini nama Fouziah Gous tiba-tiba dikaitkan sebagai individu yang cemburu dengan busana perkahwinan Anzalna.

Ia berikutan daripada penulisan sebuah portal hiburan yang mengatakan seorang selebriti berambut panjang yang juga pernah mendapatkan khidmat Cosry sewaktu majlis persandingannya menghasut pereka iaitu Teuku Putra Aziz dari butik berkenaan agar menghasilkan baju pengantin Anzalna ala kadar sahaja.

Ramai yang meneka individu terbabit adalah Fouziah sementelah pelakon berusia 33 tahun itu ada memuat naik sekeping foto yang memaparkan dirinya dan Anzalna dalam persalinan Cosry.

Menerusi foto tersebut pelakon berusia 33 tahun itu menulis kapsyen ‘Kami berdua memakai busana dari @thecosry. Terima kasih abang @putraaziz_cosry sebab tidak ada sebutir Swarovski pun pada baju saya. Yang penting saya menang tang panjang ke belakang itu’ #bajupengantinwin.

Tenang dengan tuduhan tersebut, pelakon jelita itu menyifatkan tuduhan tersebut sebagai mengarut dan kelakar.

“Sejujurnya saya, Putra dan Anzalna tak tahu apa-apa pun. Cuma, biasalah orang suka buat cerita. Kelakar juga nama saya dikaitkan sebab ia tiada kena mengena dengan saya. Jika ada yang mengaitkan gosip tersebut dengan foto yang dimuat naik itu, nyata mereka tersilap. Saya hanya bergurau,” ujarnya sambil ketawa.

Jelasnya, dia memuat naik foto tersebut kerana ingin memberi kredit kepada Cosry yang telah menyediakan busananya ke majlis perkahwinan Anzalna.

Tidak berhati jahat

“Sebenarnya saya tidak ada gambar baju rekaan Putra, kecuali gambar dengan Anzalna yang diambil oleh suami daripada belakang. Jadi, saya muat naik foto tersebut dan menulis kapsyen bergurau itu demi memberi kredit kepada Cosry sebab kedua-dua baju kami adalah daripada jenama tersebut,” ulasnya.

Bagaimanapun, menurut Fouziah, dia tidak berkecil hati dengan gosip tersebut kerana dia tidak berhati jahat seperti yang disangka.



Pelakon berusia 33 tahun ini mengaku anaknya, Zeeshan merupakan keutamaannya kini dan disebabkan itu dia masih belum menerima tawaran berlakon.

“Saya sudah berkahwin beberapa tahun. Tambahan pula saya baru melahirkan anak. Ia seumpama saya baru lahir di muka bumi ini. Takkanlah saya nak berhati jahat macam itu,” luahnya yang mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, Zhafran Yusof pada 22 September 2013.

Dalam perkembangan lain, kongsi Fouziah, dia kini sibuk menguruskan perniagaan dan pada masa sama memberi tumpuan penuh kepada puteranya, Muhammad Zeeshan, 3 bulan.

Bekas pengacara Nona itu mengaku, dia menguruskan sendiri Zeeshan dan tidak sanggup memberikan anaknya untuk dijaga oleh orang lain kecuali ibu mertuanya.

Buka akaun Instagram anak

“Selepas ada anak, saya tidak lagi memikirkan diri sendiri. Sebaliknya, kepala asyik fikir fasal anak sahaja. Lagipun, apa lagi yang saya mahukan. Populariti bukan lagi keutamaan. Memang ada yang bertanya saya kenapa sudah lama tidak berlakon. Hakikatnya, saya tidak boleh nak fikir. Tawaran memang ada cuma tunggulah bila saya sudah bersedia nanti,” katanya yang turut membuka akaun Instagram untuk anaknya iaitu @zhafoujr.

Bukan niat Fouziah untuk mempopularkan anaknya itu, sebaliknya dia membuka akaun tersebut kerana ingin menyimpan memori perkembangan anaknya itu dan menceritakannya kepada Zeeshan apabila anak itu besar kelak.

“Memang masa mengandung lagi saya cakap dengan suami nak ada Instagram untuk anak. Ia sebagai tempat untuk berkongsi mengenai perkembangannya dan satu hari nanti saya akan tunjukkan pada dia. Disebabkan itu setiap gambar atau video yang dimuat naik ke akaunnya akan disertakan dengan tarikh. Jadi, bukan niat saya untuk popularkan dia,” jelasnya lagi.

Previous Post Next Post