ELLY dan Azmi mendirikan rumah tangga pada November 2014 sebelum dikatakan berpisah pada tahun lalu.
BARANGKALI minggu ini boleh dikatakan minggu yang bercampur baur perasaan buat pelakon dan penyanyi Elly Mazlein. Ada rasa gembira, pada masa sama dia juga seolah-olah dilema untuk terus bercerita mengenai perihal status diri.
Mana tidaknya, dalam kegembiraan menyambut kehadiran bayi sulung Rabu lalu, ia disulam dengan berita status dirinya yang sudah tidak lagi bergelar isteri kepada pengarah Azmi Hatta, 40, yang dinikahinya pada November 2014.
Perkara itu disahkan sendiri oleh pelakon berusia 36 tahun itu menerusi laporan sebuah akhbar tempatan. Sudah pasti, berita itu mengejutkan ramai pihak. Ini kerana, sebelum ini belum pernah mana-mana berita mengenai pergolakan rumah tangganya didedahkan kepada umum.
Bahkan, Elly juga sememangnya bijak menyimpan rahsia rumah tangga. Mana tidaknya, bukan baru sehari dua berpisah, tetapi seperti yang diberitahu Elly, dia sudah tidak bersama bekas suaminya sejak pada tahun lalu lagi.
Tidak didedahkan tempoh sebenar perpisahan, Elly memberitahu, cukup sekadar orang mengetahui status sebenar dirinya. Bagi pelantun lagu Bakawali itu, apa yang penting, peminat dan orang ramai sudah maklum mengenai hubungan rumah tangganya yang sudah terlerai.
Bukan cuba menyembunyikan status diri, cuma bagi Elly, ketika itu dia merasakan masanya belum lagi sesuai untuk diberitahu kepada umum. Apatah lagi mengenangkan dirinya berbadan dua, sudah pasti banyak lagi persoalan lain yang bakal muncul. Justeru, dia lebih selesa untuk mengunci mulut.
Lagipun, baginya, ada perkara yang boleh dikongsikan kepada umum dan ada perkara yang hanya perlu untuk simpanan sendiri. Sehinggalah pada Rabu lalu, selari dengan kehadiran cahaya matanya, barulah Elly punya kekuatan dan bersedia untuk menceritakan hal sebenar.
ELLy mengambil keputusan untuk tidak membuka mulut isu perceraian rumah tangganya.
Sungguh pun begitu, pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu memberitahu, dia tidak akan sesekali mendedahkan punca perceraian rumah tangganya.
“Maaf, saya tidak mahu komen lanjut mengenai hal (perceraian) itu,” jawabnya ringkas ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.
Menurut Elly, biarpun sudah tidak mempunyai hubungan dengan Azmi, tetapi banyak hati yang perlu dijaganya. Apatah lagi mengenangkan Azmi merupakan lelaki yang pernah berkongsi hidup dengannya, sudah pasti tidak manis untuk dia memanjangkan lagi episod cerita duka lalu.
Membuka cerita hal berkaitan perceraian, baginya seperti membuka aib pasangan sendiri. Perkara itulah yang tidak mahu terjadi kepadanya. Baginya, biarlah apa jua yang pahit disimpan sendiri sebagai tanda menghormati bekas pasangan.
Sekalipun berpisah, Azmi tetap merupakan bapa kepada puteri sulungnya yang hanya diberi gelaran Baby Putri itu. Bahkan, menerusi laman sosial Instagram miliknya, Elly turut berkongsi sekeping foto yang memaparkan Azmi mendukung anaknya ketika berada di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
“Daddy & Baby Putri,” tulisnya pada kapsyen gambar. Daripada muat naik foto itu, ramai yang mendoakan kesejahteraan Elly. Bahkan, ada juga peminat yang mengharapkan agar kelahiran cahaya mata itu bakal menjadi pengikat semula kepada hubungan yang terlerai.
Dalam perkembangan lain, menurut Elly dia akan mendedahkan wajah puterinya itu dalam masa terdekat untuk tatapan umum.
“InsyaAllah, lagi seminggu saya kongsikan gambar Baby Putri,” tulisnya yang melahirkan bayi itu dengan berat 2.5 kilogram.