SEMBILAN tahun menyulam cinta, bukan tempoh singkat buat pasangan Jihan Muse dan Ungku Hariz.
Bagaikan pinang dibelah dua, dengan busana putih yang dipakai sewaktu majlis akad nikah menyerlahkan lagi erti cinta buat pasangan ini.
Mengakui, tempoh yang panjang itu benar-benar mematangkan mereka, Jihan dan Ku Hariz tidak mengambil masa lama untuk memutuskan mahu bernikah.
Dalam tempoh sebulan, pasangan ini bagaikan tidak cukup tangan membuat persiapan.
“Ia berlaku dengan pantas. Sebenarnya apabila kita terlalu merancang perkara itu agak sukar berlaku dan kami hanya mengikut keadaan.
"Alhamdulillah, kini kami sah bergelar suami isteri,” katanya dengan nada gembira.
Pasangan ini dinikahkan sendiri bapa Jihan, Musa Abdul Aziz dengan bersaksi Pendaftar Kanan Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Muhamad Sujak Muhamad Dasuki, bapa Ungku Hariz Ungku Mohamed Fadli, adik-beradik dan keluarga terdekat.
Selepas sah bergelar suami, pelakon yang mesra di sapa Ku Hariz ini berkongsi perasaan gembira dan lega selepas semua yang dirancang dalam masa sebulan berjalan dengan lancar.
“Selepas sah akad, saya rasa sangat lega. Akhirnya saya sendiri dapat merasai saat-saat gugup itu sama seperti lelaki lain rasai dalam acara pernikahan.
"Dapat mengahwini wanita yang saya cintai adalah perkara indah dalam hidup saya," ujar Ku Hariz.
Pelakon drama bersiri Cinta 100kg ini turut berkongsi mengenai hubungan mereka kekal hingga sekarang adalah disebabkan saling komunikasi.
"Itu memainkan peranan penting dalam sesebuah perhubungan. Dalam tempoh sembilan tahun ini, memang bermacam-macam dugaan yang kami berdua lalui.
“Pasangan suami isteri pun boleh bergolak, apatah lagi kami ketika itu yang tidak memiliki sebarang ikatan.
"Apabila ada masalah, saya sendiri mahu ia diselesaikan dengan cepat supaya keadaan tidak akan bertambah buruk,” katanya yang tidak menghalang isterinya untuk meneruskan kerjaya dalam bidang seni.
Sepanjang tempoh itu, pasangan ini mengakui tidak terlepas daripada menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran sepertimana pasangan lain yang bercinta.
Tambahan pula kerjaya dan status sebagai selebriti turut menguji kesabaran dan kekuatan hubungan yang dibina selama ini.
Namun semua itu dianggap berbaloi apabila penantian dan pengorbanan berakhir di jinjang pelamin.
Bercerita mengenai Jihan, Ku Hariz tertarik dengan sikap berdikari yang dimiliki isterinya.
“Jihan seorang yang kuat dan paling penting dia sangat berdikari. Itulah antara ciri-ciri yang membuatkan saya terpikat dengannya. Namun dia masih memerlukan bimbingan daripada seorang lelaki seperti saya,” katanya sambil tertawa.
Fasa baharu Jihan
Berkongsi lebih lanjut mengenai detik indah itu, pemilik nama sebenar Nur Jihan Musa menganggap perkahwinan ini sebagai satu permulaan buat dia dan suaminya.
“Sebelum majlis pernikahan bermula, saya risau kerana tidak ada langsung perasaan gugup yang saya rasa mungkin kerana sudah selalu berhadapan situasi seumpama ini.
“Tetapi selepas lafaz akad dilakukan, pelbagai rasa mula timbul memandangkan saya sudah memegang status sebagai seorang isteri.
“Bersedia atau tidak, itu saya tidak ada jawapan melainkan bila saya merasai sendiri situasi itu,” katanya yang anggun dengan busana rekaan Rizman Ruzaini.
Mengenai keluarga, Jihan menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Illahi.
“Memandangkan saya dikurniakan jodoh pada usia 33 tahun, sudah pastinya saya tidak akan merancang melainkan menerima rezeki dengan terbuka. Suami mahu anak sekurang-kurangnya tiga orang,” katanya sambil tertawa.
Atas tuntutan kerja, Ku Hariz dan Jihan bagaimanapun tidak merancang berbulan madu dalam masa terdekat dan pada masa sama masih belum memiliki destinasi pilihan.
Ahad lalu pasangan ini sah bergelar suami isteri pada majlis pernikahan yang berlangsung di Laman Kayangan, Shah Alam, Ahad lalu.
Jihan menerima mas kahwin sebanyak RM300 dan lima dulang hantaran. Pun begitu, pasangan ini merahsiakan jumlah wang hantaran. Majlis resepsi pasangan ini akan diadakan pada 27 Mac ini di Menara Naza TTDI, Shah Alam bertemakan klasik.