Izzue Islam bijak bahagi masa


KELIBAT figura ini di dalam bidang seni barang kali tidak perlu diperkenalkan lagi.

Tidak hanya menempa nama dalam bidang nyanyian, anak jati Kelantan ini juga mempunyai bakat besar dalam bidang lakonan.

Bahkan kerana sayangkan kedua-dua bidang itu, Muhammad Izzul Islam Mazlan atau lebih dikenali dengan nama Izzue Islam mengakui, dia harus bijak membahagikan masa sebaik mungkin.

"Saya masih aktif menyanyi bersama Forteen dan kini kami sibuk mempromosikan single terbaharu kami, Dekat Tapi Jauh.

"Macam hari ini (Isnin lalu), pagi saya menjalani sesi fotografi bersama Forteen dan kemudian saya bergegas ke lokasi penggambaran drama terbaharu saya, Antara Dua Dunia untuk siaran TV Alhijrah," katanya kepada Zass.

Biarpun tampak menyerlah di dalam bidang lakonan berbanding nyanyian, lelaki berusia 26 tahun ini tidak merasa berkecil hati kerana beranggapan semua orang mempunyai pendapat masing-masing.

Bukan sahaja di dalam karier seni, Izzue bersama isterinya, Nurinafilah Waharudin (Awin), 32, turut sibuk menguruskan perniagaan pakaian menerusi label, izzuexclusive.

Katanya, ke semua rekaan merupakan ideanya sendiri dan hasil perbincangan bersama pereka dan juga isterinya.

"Alhamdulillah perniagaan pakaian berasaskan jubah lelaki dan wanita, abaya dan kurta ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

"Sekarang ini, orang tak hanya memakai jubah untuk hari raya, tetapi ia juga dianggap pakaian harian.

"Buat masa ini saya hanya fokus menjual secara atas talian dan juga menyertai karnival untuk menjualnya.

"Malah kami juga uruskan perniagaan sendiri dengan bantuan beberapa pekerja," ujarnya.


Fikir positif

Dalam pada itu, berkongsi perjalanan karier lakonannya selepas dia meletakkan syarat enggan bersentuhan dengan pelakon wanita, Izzue berkata, dia tidak melihat syarat yang diletakkan itu sebagai sesuatu yang pelik.

"Pada saya tak jadi saya masalah atau sesuatu yang pelik. Malah pengarah dan pelakon juga faham dan ia secara tidak langsung memberi sudut kreatif buat pelakon dan pengarah menterjemahkan sesuatu babak tanpa bersentuhan.

"Malah saya tetap mendapat tawaran lakonan bukan sahaja dari Alhijrah, bahkan stesen TV lain seperti TV3 dan tidak lama lagi saya akan muncul menerusi drama Patah Sebelah Sayap bersama Ummi Nazeera dan Aeril Zafril, yang akan ditayangkan di slot Samarinda, TV3," jelasnya,

Sementara itu, ditanya penerimaannya dan isteri apabila sering disoal mengenai cahaya mata, Izzue berkata, dia dan isteri bersikap positif dalam menghadapi perkara itu.

Ujarnya, pada awal perkahwinan dia mengakui terasa pelik apabila orang sering bertanya mengenai soal cahaya mata, namun lama-kelamaan, dia menganggap pertanyaan itu sebagai satu doa.

"Mula-mula tidaklah sampai tahap tertekan, cuma pelik bila orang asyik tanya.

"Tapi lama-lama kami fikir positif dan minta orang doa kami cepat menimang cahaya mata. Malah kami juga berdoa agar dikurniakan cahaya mata.

"Apa yang penting kami sama-sama positif," akhirinya.

Previous Post Next Post