Kereta jenis Mitsubishi Triton milik pelakon Remy Ishak lesap selepas dicuri dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 pagi, Rabu.
Tindakan pelakon Remy Ishak yang singgah membeli ais di sebuah kedai bagi merawat kakinya yang bengkak mengundang padah apabila kereta jenis Mitsubishi Triton miliknya itu dilarikan pencuri.
Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimie Ishak, 34, berkata, kejadian itu berlaku pada puykul 12.30 pagi Rabu selepas dia pulang ke rumah sebaik sahaja selesai menjalani latihan teater di Istana Budaya.
Jelas pelakon itu, kejadian berlaku ketika dia singgah di kedai berdekatan rumahnya di Seri Kembangan, Serdang dekat sini untuk membeli barang sebelum mendapati kereta kesayangannya itu tiada di tempat letak kereta.
Imej kereta Mitsubishi Triton.
"Saya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjalani latihan teater Cindua Mato di Istana Budaya dan singgah ke sebuah kedai berdekatan kawasan rumah untuk membeli ais kerana kaki saya bengkak.
"Tidak sampai beberapa minit saya dalam kedai berkenaan apabila saya keluar kereta saya sudah tiada," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu.
Terdahulu, Remy menerusi Twitter miliknya memberitahu dia baharu sahaja kehilangan kereta Mitsubishi Triton berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WSB 7332 dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat untuk menghubungi.
Dalam pada itu, Remy berkata, dia turut berasa ralat kerana barang-barang berharga miliknya seperti pakaian, kasut berjenama dan alat elektronik yang ditinggalkan dalam kereta turut lesap.
Jelasnya lagi, dia telah pun membuat laporan polis di Balai Polis Sri Kembangan berhubung kejadian tersebut.
"Ia adalah kereta kesayangan saya dan sudah enam tahun saya guna kereta tersebut. Harap-harap dengan bantuan orang ramai dan polis ia dapat ditemui semula," katanya.
Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan kereta miliknya itu supaya menghubungi pembantu peribadinya di talian 013-6293825.