Penyatuan cinta 9 tahun Jihan, Ku Hariz


AKAD NIKAH - Popular sebagai pengacara rancangan Resepi Memikat Suami, Jihan dan Ku Hariz bakal muncul dalam episod pertama rancangan tersebut pada bulan Ramadan nanti.

CINTA sememangnya memerlukan keserasian, malah hubungan yang disemai perlu sentiasa dibajai dengan kepercayaan dan disirami toleransi serta saling memahami dalam komunikasi antara satu sama lain.

Itulah gambaran sebenar yang boleh ditafsirkan dalam pelayaran kasih antara pengacara dan pelawak popular, Jihan Muse bersama cinta hatinya, pelakon Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli atau Ku Hariz.

Resipi tersebut diadun pasangan merpati dua sejoli ini sejak mula berkenalan sekitar 2007 sehingga membawa kepada termeterainya perjanjian cinta mereka dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung di Laman Kayangan, Dataran Karyawan, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam hujung minggu lalu.

Tampil anggun persis puteri dengan layah panjang dan busana berona putih hasil sentuhan pereka fesyen, Rizman Ruzaini, Jihan atau nama sebenarnya, Nuur Jihan Musa, 33, kelihatan sebak sebaik sahaja akad nikah dilafazkan. Bagaikan meminta kekuatan, dia berkali-kali mencium dan memeluk ibunya yang setia menemani di sisi.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan gembira hubungan yang terjalin sejak sembilan tahun lepas akhirnya ke jenjang pelamin. Kini saya sah bergelar isteri kepada Hariz.

“Biarpun semua persiapan dilakukan pada saat akhir iaitu sebulan sebelum majlis berlangsung tetapi saya bersyukur kerana ia berjalan dengan lancar,” ujarnya usai majlis akad nikah.

Di sisinya, Ku Hariz meluahkan rasa lega selepas bertukar status sebagai suami hanya dengan sekali lafaz.

“Perasaan saya sangat lega kerana semuanya sudah selesai. Memang pada awalnya saya berasa panik tetapi selepas melafazkan akad nikah, perasaan itu terus hilang.

Cerita pelakon filem Polis Evo tersebut, dia tidak melakukan sebarang latihan melafazkan akad sebelum majlis berlangsung.

“Terus terang, saya tidak membuat sebarang latihan melafazkan akad nikah atas saranan rakan-rakan yang berpengalaman.

“Saya cuma dengar apa yang dijelaskan oleh pendaftar nikah dan kemudian melafazkannya,” ujarnya gembira.

Pada majlis tersebut, Jihan dinikahkan oleh bapanya, Musa Abd. Aziz sambil disaksikan oleh Pendaftar Kanan Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Muhamad Sujak Muhamad Dasuki.

Pelawak yang mula dikenali selepas menyertai pertandingan Raja Lawak musim ketiga itu menerima mas kahwin sebanyak RM300 berserta lima dulang hantaran. Pihak pengantin lelaki juga menerima jumlah dulang hantaran yang sama sebagai balasan.


Komunikasi erat hubungan

Kebiasaannya, saat melangkah masuk ke dalam dewan pernikahan merupakan waktu paling mendebarkan buat pasangan pengantin. Namun, berlainan dengan Jihan. Sebaliknya, dia risau kerana langsung tidak mempunyai perasaan gementar.

“Saya risau kenapa tidak berasa gementar beberapa jam sebelum dinikahkan. Semasa sedang disolek, saya ada bertanya dengan Rizman dan jurusolek Saidatul Nisa tentang perkara itu. Mungkin disebabkan selalu berjumpa dengan orang, perasaan gementar itu sudah berkurangan dalam diri saya.

“Bagaimanapun, sebaik sahaja Hariz melafazkan akad, terus saya sebak. Ketika itu pelbagai perasaan muncul termasuk tentang tanggungjawab yang tergalas di atas bahu saya,” ujarnya.

Resipi bertahan

Bercerita lanjut, pengacara rancangan Gegar Vaganza itu berkata, sebelum bergelar isteri kepada Ku Hariz lagi, dia sudah dilatih untuk memaklumkan setiap perkara yang ingin dilakukan terlebih dahulu kepada kekasih hatinya.

Tambah Jihan, kepentingan dalam setiap komunikasi yang diterapkan Ku Hariz sedikit sebanyak mempersiapkan dirinya untuk bergelar isteri.

“Apabila bergelar isteri, suami mendahului segala keutamaan. Saya tidak boleh lagi membuat sebarang perkara tanpa kebenarannya.

“Alhamdulillah, selama sembilan tahun mengenali Hariz, dia begitu mementingkan komunikasi antara kami. Semua perkara yang hendak saya lakukan perlu diberitahu kepadanya terlebih dahulu. Walaupun pada mulanya saya berasa agak leceh tetapi rutin tersebut kemudiannya bertukar menjadi kebiasaan,” ujarnya yang akan bercuti sehingga majlis resepsi pada hari Ahad nanti.

Diajak berbicara tentang rahsia mempertahankan hubungan tanpa sebarang pertelingkahan besar sehingga mencetuskan kontroversi, Ku Hariz mengakui, seperti pasangan lain, kadangkala hubungan mereka juga dilanda badai.

Jelas pelakon yang lahir melalui rancangan Pilih Kasih musim kedua itu, dia sentiasa menerapkan prinsip setiap masalah yang timbul harus segera diselesaikan.

“Kami berdua sudah lama berkenalan dan banyak perkara antara kami yang sudah difahami. Semasa awal perkenalan, memang perkara kecil pun hendak digaduhkan tetapi semakin lama kami menjadi matang.

“Bagi saya, setiap masalah yang timbul harus diselesaikan cepat. Tidak boleh disimpan dalam hati kerana ia akan merosakkan diri. Jadi, setiap kali konflik antara kami timbul, saya memang akan mengajak Jihan berbincang sehingga menemui jalan penyelesaian,” katanya.

Ditanya mengenai kriteria istimewa Jihan yang memikat hatinya, Hariz berkata, isterinya itu merupakan seorang wanita kuat semangat.

“Selain cantik dan pandai menjaga hati, Jihan merupakan seorang wanita yang kuat. Dia juga pandai berdikari. Bagaimanapun, tetap memerlukan pengawasan daripada seorang lelaki iaitu saya,” ujar Ku Hariz dalam nada berseloroh.

Menambah bicara, Ku Hariz berkata, walaupun sudah bergelar suami, dia tidak akan menghalang apa sahaja yang ingin dilakukan Jihan.

“Sejak dari dahulu lagi saya memang tidak pernah menghalang Jihan untuk melakukan apa sahaja kerja yang ingin dilakukannya. Hal tersebut akan berterusan walaupun kami sudah berkahwin.

“Namun, saya tetap akan memantau setiap keputusannya,” jelas Ku Hariz sambil meluahkan keinginan untuk mempunyai tiga orang anak.

Tidak rancang bulan madu.

Mengakui kedua-duanya terlalu sibuk dengan komitmen karier, pasangan berkenaan belum bercadang untuk berbulan madu dalam masa terdekat ini.

Tambah Jihan, dia mempunyai satu perangai iaitu terus redah sekiranya ingin bercuti ke mana-mana asalkan mempunyai masa lapang. Malah, perancangan untuk persiapan perkahwinan juga dibuat hanya dalam masa sebulan.

“Setakat ini, saya dan Hariz memang tidak merancang untuk pergi berbulan madu. Malah, destinasi impian untuk berbulan madu juga tiada dalam perancangan. Mungkin, apabila kedua-duanya mempunyai masa lapang nanti, kami akan terus pergi sahaja ke destinasi yang terlintas di fikiran.

“Begitu juga dengan majlis perkahwinan ini. Kami pernah bercadang hendak berkahwin sebelum ini tetapi apabila terlampau merancang, perkara tersebut tidak menjadi. Persiapan perkahwinan ini juga merupakan perancangan mengejut yang hanya dibuat dalam masa sebulan,” jelasnya.

Selepas akad nikah Ahad lalu, Jihan dan Ku Hariz akan mengadakan sebuah majlis resepsi 27 Mac (Ahad) nanti bertempat di Menara NAZA Taman Tun Dr. Ismail, Shah Alam.

Previous Post Next Post