SEPANJANG karier dari Studio Jalan Ampas, Singapura, Neng Yatimah sangat terkenal sebagai pelakon yang sering membawa watak lara sehingga ratu air mata.
SEHARI selepas pemergian komposer tersohor, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, industri hiburan tanah air sekali lagi berduka apabila seniwati veteran Neng Yatimah dijemput Ilahi pada usia 92 tahun. Beliau menghembuskan nafas terakhir kerana sakit tua pada pukul 10.30 pagi Sabtu lalu di kediamannya di Woodlands, selepas keluar dari Hospital Khoo Teck Phuat, Singapura.
Mengenali Neng Yatimah atau nama sebenarnya, Buntat Ahmad menerusi lakonan dalam filem hitam putih di layar kaca, beliaulah ratu air mata sebenar. Masakan tidak, setiap kali berlakon adegan air mata dan Neng Yatimah tidak dapat dipisahkan. Contohnya seperti dalam filem Batu Belah Batu Bertangkup, pasti penonton tidak boleh melupakan esak tangisannya yang kempunan mengidam telur ikan tembakul.
Sungguh pun sinonim dengan watak air mata, namun lakonannya amat meninggalkan kesan. Meskipun tidak menangis, caranya melontarkan dialog sahaja sudah mampu merobek hati penonton. Itulah magis yang dimiliki oleh Seniwati Neng Yatimah.
Lakonannya tidak dibuat-buat, tangisannya juga penuh perasaan dan perkara itu diakui sendiri oleh pengarah dan pelakon terkenal, Fauziah Datuk Ahmad Daud, 53, atau lebih dikenali sebagai Ogy.
Terkesan menerima perkhabaran pemergian Neng Yatimah, lebih kuat lagi Allahyarham merupakan pelakon sezaman dengan ibu bapanya, Allahyarham Ahmad Daud dan Seniwati Saadiah. Bagaimanapun akui Ogy, dia tidak begitu mengenali Allahyarham memandangkan keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur ketika usianya masih kecil.
“Memang beliau merupakan rakan seangkatan Allahyarham ibu bapa, cuma saya tidak berapa rapat kerana ketika mereka aktif berlakon di Singapura, saya masih kecil. Pada usia 11 tahun kami sekeluarga telah berhijrah ke Kuala Lumpur.
“Namun sebagai pelakon, saya amat kagum dengan bakat lakonannya. Beliau seorang pelakon yang hebat. Pelakon dahulu berlakon kerana minat bukan populariti seperti hari ini. Walaupun wataknya banyak menangis tetapi beliau sangat jujur dalam lakonan. Sebab itu kita mudah tersentuh dan merasai kesedihan yang ditonjolkan dalam filem lakonannya,” kongsi Ogy yang pernah beberapa kali bertemu Neng Yatimah ketika hayatnya.
Sementara itu, cucu Allahyarham, Azlynna Mustapha, 48, ketika dihubungi Kosmo! memberitahu, kesihatan Neng Yatimah mula merosot apabila mendapat serangan jantung kali pertama sebaik menerima berita kematian Datuk Mustapha Maarof (menantu) pada 15 Disember 2014.
Sejak pulang ke Singapura selepas menghadiri majlis pengebumian menantunya itu, beliau mula jatuh sakit dan kerap keluar masuk hospital. Kali terakhir beliau dimasukkan ke hospital adalah pada Rabu lalu selepas tiada selera makan sebelum meninggal dunia di kediamannya.
“Sejak Allahyarham bapa meninggal dunia, kesihatan nenda semakin teruk. Jantungnya lemah dan kerap dikejarkan ke hospital. Walaupun tahu nenda tidak sihat tetapi berita ini amat mengejutkan kami sekeluarga. Selepas pemergian Allahyarham bapa (Mustapha) dan ibu (Roseyatimah), nenda satu-satunya ahli keluarga yang tinggal,” tutur Azlynna sebak.
Menyentuh tentang keperibadian aktres yang terkenal sekitar tahun 1950-an dan 1960-an itu, kata Azlynna, Allahyarham seorang nenek yang amat penyayang. Meskipun mereka tinggal berjauhan kerana Allahyarham menetap dan merupakan warganegara Singapura, manakala dia dan keluarganya di Kuala Lumpur, hubungan mereka amat rapat.
“Kali terakhir saya bertemu nenda sekitar tiga bulan lalu. Sungguh pun sudah lanjut usia, ingatannya masih kuat. Setiap kali berjumpa kami akan menghabiskan masa bersama. Allahyarham nenda amat disenangi dan disayangi ramai,” jelas Azlynna.
Jenazah Allahyarham dikebumikan Sabtu lalu selepas solat zuhur di Tanah Perkuburan Islam Bidari (Pusara Abadi), Singapura. Satu-satunya anak Neng Yatimah, Seniwati Roseyatimah meninggal dunia akibat kanser payudara pada 1987, manakala menantunya, Mustapha Maarof menghembuskan nafas terakhir kerana jangkitan paru-paru pada 15 Disember 2014.
Mengimbas kembali profil seninya, Neng Yatimah yang bercita-cita untuk bergelar seorang guru menerjuni bidang lakonan secara tidak sengaja pada usia 19 tahun kerana begitu meminati dan mengagumi lakonan Allahyarham Seniwati Siput Sarawak.
Sepanjang kariernya sebagai anak seni, beliau telah membintangi 18 buah filem antaranya Nilam (1949), Takdir Ilahi (1950), Sejoli (1951), Batu Belah Batu Bertangkup (1959), Sri Mersing (1961) Laila Majnun (1962) dan yang terakhir Mama Oh Mama (1981).
Sesuatu yang sinonim dengan khalayak masa kini, jolokan Mak Neng yang digunakan Salih Yaacob dalam radio Sinar FM sebenarnya diinspirasikan daripada keperibadian Neng Yatimah.