REZA HASBI (kiri) membawakan watak sebagai Kimi dalam filem ini.
INI bukan sekadar kisah sekumpulan penari yang berjuang untuk dinobatkan sebagai sang juara semata-mata.
Sebaliknya, filem Showdown The Movie turut memaparkan konflik yang tercetus dalam persahabatan, selain berdepan dugaan demi dugaan terutamanya apabila hubungan itu tidak lagi berpaksikan sesuatu yang dipanggil semangat setiakawan.
Filem arahan Khairil M.Bahar itu bakal menemui penonton di pawagam tempatan pada 7 April depan.
Iedil Putra teruja menari
Berkongsi pengalaman tatkala menjayakan filem berkenaan, salah seorang pelakon, Iedil Putra mengakui cukup teruja memegang watak sebagai seorang penari b-boy buat kali pertama di layar perak.
“Walaupun saya memiliki asas dalam bidang tarian tradisional selain pernah terlibat dalam beberapa teater muzikal sebelum ini, ternyata pengalaman mempelajari tarian hip hop sememangnya berbaloi.
“Ternyata, tunjuk ajar daripada koreografer seperti Pat Ibrahim sememangnya mengundang satu pengalaman yang cukup bermakna dan mengujakan,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.
Pemilik nama sebenar Tengku Iedildzuhri Putra Alauddin, 32, itu memberitahu, dia berdepan cabaran untuk kelihatan seperti penari sebenar dalam waktu yang cukup singkat.
“Saya cukup menghormati kesemua penari hip hop di negara kita kerana mereka memang bersungguh-sungguh memartabatkan kedudukan masing-masing.
“Apa yang paling utama, saya seronok melakukannya meskipun ia sememangnya mencabar,” ceritanya lagi.
Mengulas lanjut, Iedil Putra menjelaskan, dia memegang watak sebagai Ringgo, ketua kumpulan Extreme Crew dalam filem ini.
“Sebenarnya, saya pernah berada dalam kumpulan yang sama bersama Kimi (lakonan Reza Hasbi) sebelum kami bermusuh menjelang satu pertandingan tarian.
“Pelakon-pelakon lain juga memberikan komitmen yang tinggi, tambahan pula peluang untuk bekerjasama dengan penari hip hop bukannya selalu hadir di depan mata,” ujarnya.
Menurut Iedil Putra, dia juga tidak berdepan masalah menerima setiap arahan Khairil bagi menjayakan watak Ringgo.
“Saya pernah bekerjasama dengan beliau untuk filem Cuak, selain beberapa projek kecil sebelum ini. Saya senang bekerjasama dengan Khairil kerana beliau mengetahui apa yang dimahukan selain cukup bersemangat.
“Saya juga cukup teruja apabila dapat bekerjasama dengan Pat yang banyak memberikan tunjuk ajar dalam filem ini.
“Jadi, saya harap penonton dapat datang ke pawagam beramai-ramai bagi menyaksikan filem pertama tempatan seumpamanya di pawagam nanti,” ujarnya.
Reza Hasbi cedera
PERSAHABATAN Ringgo dan Kimi diuji apabila bertukar menjadi musuh gara-gara sebuah pertandingan tarian.
Dalam pada itu, seorang lagi pelakon, Reza Hasbi mengakui terpaksa menahan kesakitan selama tiga minggu selepas ibu jari kanannya terseliuh ketika menjalani penggambaran filem berkenaan di Pulau Pinang sebelum ini.
Reza atau nama sebenarnya, Muhamad Ridzuan Hasbullah, 27, berkata, dia terpaksa menahan kesakitan dan tidak mendapatkan rawatan susulan di hospital kerana enggan penggambaran ketika itu tertangguh.
“Kesakitannya masih terasa sehingga sekarang. Ketika itu, ibu jari saya terseliuh dan membengkak kerana menari. Ia sememangnya pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” ujarnya.
Selain itu, Reza juga terpaksa mengikuti kelas tarian selama dua minggu sebelum memulakan penggambaran.
“Saya memang pernah menjadi penari suatu ketika dahulu, namun sudah lebih dua tahun tidak menari sebenarnya.
“Disebabkan tertekan, saya pernah menangis di dalam kereta kerana khuatir gagal melakukannya. Mujurlah ramai yang membantu,” jelasnya.
Filem Showdown The Movie edaran Primeworks Studios Sdn. Bhd. itu mengisahkan mengenai sekumpulan penari yang menggelarkan diri mereka Battle Crew dan memiliki impian untuk menyertai dan menjuarai pertandingan tarian terbesar di Malaysia iaitu Showdown.
Ia merupakan adaptasi daripada rancangan realiti pertandingan tarian, Showdown yang pernah merangkul beberapa anugerah dan jumlah penonton yang tinggi sebelum ini.
Selain Iedil Putra dan Reza, turut membintangi filem terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. itu termasuklah Izara Aishah, Iedil Putra, Azad Jazmin, Ammar Alfian, Maria Farida, Esma Daniel dan Jen Shukri.
Selain itu, ia turut menampilkan Altimet, Linda Jasmin, Josiah Hogan, Betty Benafe dan pemenang Showdown The Series 2012 iaitu Giller Battle Crew!, selain beberapa pelakon baharu seperti Aiman Asmawar, Amirul Hadi, Ajim Aris dan Ben Laden.
Lagu popular Inilah Nasibku nyanyian kumpulan Nico turut dijadikan lagu tema untuk filem berkenaan. Jangan lupa saksikannya di pawagam pada 7 April depan.