Syafie Naswip Teruja teroka pelbagai watak


AKTOR ini tidak pernah menganggap dirinya sebagai seorang pelakon senior.

ANDAI usia dijadikan ukuran, pastinya ramai yang terlepas pandang betapa aktor berkaliber, Syafie Naswip sebenarnya baru saja mencecah usia 24 tahun pada tahun ini.

Hakikatnya, setiap watak tidak kira di kaca televisyen mahupun di layar perak berjaya dihadam pemilik nama sebenar Mohammad Syafie Naswip ini dengan sebaik mungkin.

“Ia merupakan tanggungjawab saya sebagai pelakon. Jadi, saya perlu memastikan setiap watak yang diterima menepati apa yang dimahukan pengarah,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Biarpun tidak keterlaluan menyifatkan Syafie, 24, sebagai antara pelakon senior yang mewarnai industri seni tanah air buat masa ini, ia bukan alasan buat aktor itu berasa selesa dengan kedudukannya sekarang.

“Saya tidak pernah menganggap diri sebagai pelakon senior kerana banyak perkara yang masih perlu dipelajari termasuk ragam dan kerenah dalam industri.

“Terus-terang, saya lebih selesa dianggap sebagai pelakon baharu yang masih memerlukan tunjuk ajar. Itu jauh lebih baik daripada berbangga diri tetapi hasilnya tetap di takuk lama,” jelasnya.


Tidak hairanlah, Syafie tanpa berselindung turut mengakui cukup teruja menerokai setiap watak yang ditawarkan kepadanya sejak dahulu.

“Saya seringkali ditawarkan watak antagonis sebelum ini seperti Juvana sebelum ditawarkan watak komedi dalam filem Rentap.

“Menerusi filem terbaharu saya berjudul Kampung Drift, saya berpeluang menghidupkan watak komedi dan serius dalam satu masa.

“Ia sesuatu yang mengujakan kerana perlu bermain dengan pelbagai dimensi watak. Soal watak itu berjaya dibawakan ataupun tidak, sama-sama kita nantikan filem itu nanti,” ujarnya sambil memberitahu bahawa filem Kampung Drift itu dijangka ditayangkan di pawagam pada tahun ini.

Menyentuh mengenai wataknya dalam filem arahan Nevin Heong itu, Syafie menjelaskan, dia membawakan watak sebagai Johan, seorang pemuda kampung yang cukup meminati perlumbaan drift.

“Johan terpaksa mengasah bakatnya dalam bidang perlumbaan drift secara senyap-senyap ekoran tidak mendapat keizinan bapanya (lakonan Pekin Ibrahim).

“Dia juga mencari identiti siapa dirinya yang sebenar sebelum karakternya berubah daripada santai menjadi seseorang yang lebih serius,” ujarnya seraya menutup bicara.

Previous Post Next Post