Vicha (Saywho) Sudah Tiga Tahun Menetap Di Malaysia


Vicha sudah menetap di Malaysia sejak tiga tahun lalu.

Anggota kumpulan Saywho iaitu Vicha memberitahu sudah menetap di Malaysia sejak tiga tahun lalu kerana ingin memberi fokus kepada karier seninya di negara ini.

Vicha atau Refika Novianti Faturohman, 28, berkata, dalam tempoh itu juga kariernya semakin mendapat perhatian dan dia kini banyak menerima tawaran drama dan telefilem.

"Ramai yang mungkin tidak tahu tetapi saya memang sudah menetap di Kuala Lumpur sejak tiga tahun lalu dan hanya pulang ke Jakarta sekiranya ada waktu terluang.

"Keputusan berpindah dibuat selepas saya banyak mendapat tawaran berlakon dan agak sukar sekiranya saya perlu berulang-alik.


"Alhamdulillah kehidupan semakin stabil dan rezeki tidak putus-putus," katanya kepada mStar Online.

Kumpulan Saywho kini sedang bertanding menerusi program Maharaja Lawak Mega 2016.

Vicha pula baharu sahaja muncul dengan filem berjudul Kipidap! Selamatkan Hari Jadi terbitan Metrowealth International Group (MIG).

Dalam pada itu, Vicha berkata, dia bersyukur apabila MIG percaya kepada bakatnya sebagai pelakon dan pelawak dan selesa kariernya diuruskan syarikat pengurusan berkenaan.

Malah kata Vicha, MIG banyak memberinya peluang selain mencari projek lakonan untuknya sehingga dia lebih dikenali peminat.

"Sebelum ini mungkin orang kenal saya menerusi MLM sahaja tetapi sekarang Alhamdulillah karier saya berada ditahap berlainan apabila banyak berlakon drama dan filem," katanya.

Sementara itu, Vicha berkata, biarpun kini dia lebih menyerlah tanpa Saywho namun dia tidak pernah berhasrat meninggalkan kumpulan berkenaan.

"Tanpa Saywho saya bukan sesiapa. Kami masih bersama dan banyak tawaran diberikan menggandingkan kami bertiga," ujarnya.

Previous Post Next Post