Selepas sebulan video lelaki bogel yang didakwa mirip Aiman Tino tular di laman sosial, penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu sekali lagi dihambat kontroversi berikutan sebuah rakaman video terbaharu miripnya tersebar.
Bagaimanapun, Aiman ketika ditemui di sebuah majlis di ibu kota sebentar tadi menafikan lelaki berkenaan adalah dirinya dan menyelar pihak yang terus mengaitkan dirinya dengan rakaman video-video tidak senonoh.
“Netizen tidak akan puas untuk menyebarkan perkara yang tidak betul. Sejujurnya, saya sudah malas untuk mengambil pusing tentang hal ini. Saya anggap isu ini sebagai isu bodoh dan saya tidak akan buat perkara sebegini.
“Kalau perkara ini terus berlarutan, saya tidak teragak-agak untuk ambil tindakan,” katanya.
Mengulas mengenai baju yang dipakai lelaki dalam video berkenaan mirip baju miliknya, Aiman berkata, dia juga membeli-belah di butik-butik popular sama seperti orang lain.
“Seperti orang lain, saya juga membeli baju di H&M dan Cotton On.
“Jadi, tidak hairan jika baju saya itu sama dengan orang lain,” katanya lagi.