Sharifah Shahira sindir AME




Status yang dimuat naik Sharifah Shahira di laman Instagramnya.

Penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah melenting di laman Instagramnnya kerana mendakwa tidak diberikan tempat duduk sehingga terpaksa berdiri pada malam Anugerah Meletop Era (2019) yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil malam semalam.

Sharifah Shahirah atau nama sebenarnya Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 45, berkata, dia kecewa walaupun namanya antara lima calon kategori Penyampai Radio Meletop, pihak penganjur gagal menyediakan tempat duduk untuk dirinya.

Menurutnya, pada awalnya dia enggan menghadiri acara anugerah pada malam itu akhirnya bersetuju atas dasar tanggungjawab sebagai calon dan mewakili Suria FM.

"Semalam ke Meletop (AME) mewakili radio kami Suria FM. Bukan senang suruh aku turun sebab malas mahu jahit baju dan bersolek.

"Paling malas sebab tahu kalau pergi pun tempat duduk tidak ada walaupun calon. Suka duduk rumah tengok (menonton) Korea (drama)," katanya di laman Instagramnya hari ini.

Dia yang mengenakan busana pereka fesyen O'oi Coutoure dan jurusolek Epie Temerloh hadir bersama suami, Ijoy Azhari pada malam anugerah berkenaan.

Bagaimanapun, masalah tersebut berjaya diselesaikan oleh wakil Astro yang mencari tempat duduk kosong untuk Sharifah Shahira dan pasangan.

Dalam kiriman yang sama, Sharifah Shahira turut memuat naik entri berbaur sindiran terhadap penganjuran AME pada malam semalam.

"Hebat anugerah Meletop, penuh padat, berdiri dibuatnya," katanya.

Kategori Penyampai Radio Meletop dimenangi oleh penyampai radio Era, Johan manakala anugerah kemuncak Top Top Meletop dimenangi oleh Khai Bahar dan Siti Nordiana.


Previous Post Next Post