Amelia Henderson bahagia jadi diri sendiri




Bukan sekali dua malah sudah acap kali, figura jelita bernama Amelia Henderson ini menjadi bahan bualan dan mangsa kritikan netizen.

Buktinya, setiap kali memuat naik gambar di Instagram, pasti berduyun-duyun netizen meninggalkan komen yang mempertikaikan caranya berpakaian. Tohmahan seksi, tidak takut Tuhan dan macam-macam dilemparkan terhadap dirinya, namun Amelia tenang, langsung tidak membalas terhadap kecaman ‘bersiri’ tersebut.

Menggali emosi dengan mengajukan soalan itu taktala bersua muka dengan pemilik nama sebenar Amelia Thripura Henderson tersebut pada sesi fotografi khas baru-baru ini, ternyata Amelia tidak mudah melenting malah tenang bersahaja memberikan jawapan.

“Kalau tak suka, unfollow atau block (sekat) sahajalah akaun Instagram saya. Ini (tahun) 2019, kita boleh mengekspresikan diri sendiri. Selagi apa yang saya buat tidak membahayakan orang dan tak sakiti sesiapa, jadi biarkanlah saya. Tidak perlulah membincangkan pasal saya.

“Kalau kita fokus untuk membahagiakan orang lain (netizen). Bila diri sendiri nak bahagia? Saya tidak boleh menjalani kehidupan dengan menuruti apa yang mereka mahukan kerana saya juga kena bahagiakan ibu dan memuaskan hati pihak pengurusan. Saya perlu melakukan apa yang terbaik untuk saya dan orang-orang di sekeliling saya,” katanya tenang, namun ada penegasan di situ.

Tambah wanita berusia 24 tahun ini, apa yang penting dan sudah cukup bagi dirinya ialah mempunyai insan-insan di sekeliling yang sentiasa menyokongnya.

“Memiliki keluarga, pihak pengurusan dan peminat yang melindungi saya, itu sudah cukup. Buat apa saya mahu fikirkan orang lain. Lagipun, sesetengah mereka yang meninggalkan komen dan mengecam itu menggunakan akaun palsu,” ujarnya

Biarpun dikritik, anak kacukan India-Scotland itu tidak mengambil pendekatan untuk menutup ruangan komen.

Lakonan

Tutup hal itu, barangkali ada yang tidak tahu Amelia sebenarnya sudah terlibat dalam dunia pengiklanan sejak berumur setahun dan untuk lakonan, dia sudah berjinak-jinak ketika usianya 13 tahun menerusi sitkom popular Keluarga Adam yang ditayangkan di TV2.

Biarpun selepas itu, Amelia terlibat dengan beberapa drama dan telefilem, namanya masih lagi samar-samar sehinggalah dia mula kembali aktif berlakon pada tahun lalu dan terkini, menerusi drama Cinta Non Grata.

Memegang watak sebagai Darlina, bakatnya dalam bidang lakonan semakin dikagumi apatah lagi dikelilingi barisan pelakon yang sudah lama memahat nama dalam industri lakonan tanah air seperti Edika Yusof, Esma Daniel dan Maria Farida.

Saat lakonannya dipuji, Amelia hanya melepaskan sebuah tawa kecil.

“Sejak kecil lagi saya sudah mula berlakon, justeru, saya tidak tahu sama ada memang berbakat atau tidak. Saya tak kata lakonan saya terbaik tetapi mungkin ada penambahbaikan kerana saya berpeluang mencari ilmu daripada pelakon-pelakon lain sepanjang pembabitan saya dalam dunia lakonan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Amelia turut meluahkan rasa bertuah kerana dapat bergandingan dengan pelakon yang berpengalaman.

“Sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan abang Edika (Yusuf) dan bagi saya, Edika sangat baik dan dia membantu memantapkan lagi lakonan saya,” katanya sambil menyimpulkan produksi Cinta Non Grata adalah antara kerjasama terbaik yang pernah dilaluinya.

Ulat buku

Melihat Amelia yang sering menghidupkan roh lakonan pada setiap naskhahnya, pasti ramai yang mahu menyelongkar sisi peribadinya yang barangkali tidak diketahui umum dan ini jawapan jujur yang keluar daripada mulut wanita berkenaan.

“Kalau nak tahu, saya seorang yang kuat bekerja. Selain itu, ketika zaman sekolah, saya bukanlah seorang budak popular sebaliknya seorang yang nerd (ulat buku) dan sering dibuli kanak-kanak lain,” dedahnya.

Tidak cukup dengan itu, siapa sangka, Amelia yang juga merupakan pengacara itu turut mendedahkan dia amat meminati pelakon jelita, Fasha Sandha.

Malah jika diberikan peluang, dia juga teringin untuk bergandingan dengan isteri kepada Aidil Aziz itu dalam drama yang sama.

“Saya amat mengagumi Fasha dan seandainya saya berpeluang bekerjasama dengannya, saya pasti sangat gembira. Bagi saya, dia seorang pelakon yang sangat berbakat besar. Setiap kali menonton naskhah lakonan Fasha, saya tak rasa dia sedang berlakon kerana lakonannya sangat hidup,” ujarnya.

Keperibadian Fasha yang sangat baik hati dan mesra setiap kali berjumpa juga membuatkan dia mengagumi wanita berusia 36 tahun itu.

Dalam pada itu, Amelia turut berkongsi mengenai perkembangan kerjayanya dengan memberitahu, dia bakal melibatkan diri dalam sebuah filem, namun enggan menguar-uarkannya buat masa ini.


Previous Post Next Post