Haqiem Rusli bersemangat untuk membikin konsert solo berskala besar setelah melihat kejayaan A Nite With Haqiem Rusli di ibu kota pada Mac lalu.
Sebagai penyanyi yang pantas mencipta nama dan semakin matang dalam industri, Haqiem Rusli mengimpikan peluang mengadakan sebuah konsert solo.
Dia yang pada mulanya meragui keupayaan menghimpunkan peminat dalam sebuah persembahan, kembali bersemangat setelah melihat sambutan khalayak terhadap konsert mininya, A Nite With Haqiem Rusli di ibu kota pada Mac lalu.
Yakin dengan sokongan peminat yang menggelar diri mereka sebagai Qiemilio, pelantun yang popular dengan lagu bahasa Inggeris bertajuk What Can I Do For You itu amat berharap dapat sekali menghiburkan peminat dalam sebuah konsert solo.
Selain konsert, penyanyi yang meledak menerusi lagu Tergantung Sepi itu turut merancang untuk meluncurkan sebuah album penuh seiring sedekad usia penglibatannya dalam seni suara tempatan bermula dengan Idola Kecil sekitar tahun 2009.
Haqiem yang juga duta Kempen Ramadan Raya Media Prima Berhad bertemakan #SetulusIkhlas pada tahun ini berkongsi rencana kerjayanya ketika ditemui di Hotel Sheraton, Petaling Jaya baru-baru ini.
KOSMO!: Bagaimanakah maklum balas yang diterima menerusi pelancaran lagu baharu bahasa Inggeris bertajuk What Can I Do For You?
HAQIEM RUSLI: Lagu itu merupakan nukilan Shazee dan kali pertama saya menyanyikan sebuah lagu bahasa Inggeris penuh. Saya merekodkan lagu ini untuk mencabar keupayaan nyanyian dan mendapatkan maklum balas daripada peminat.
Alhamdulillah, biarpun terdapat segelintir pihak yang menegur cara sebutan saya dalam lagu berkenaan, majoriti daripada maklum balas yang diterima adalah baik dan ramai menyukai lagu itu.
Selain lagu bahasa Inggeris, adakah anda akan mengeluarkan single baharu?
Ya. Dalam tempoh terdekat, saya akan tampil dengan single baharu bertajuk Lembah Kesepian. Saya mahu setiap lagu yang saya hasilkan dekat dengan masyarakat. Kali ini, saya mengangkat kisah pengorbanan seorang bapa menerusi lagu bertajuk Lembah Kesepian.
Sudah tentu lagu ini berentak balada. Rakaman telah selesai dan saya menanti tarikh bersesuaian. Pihak pengurusan merancang untuk mengeluarkan lagu ini pada bulan Mei depan.
Melihat kejayaan mini konsert anda pada Mac lalu, adakah anda merancang mengadakan sebuah konsert solo berskala lebih besar?
Mengadakan konsert solo sudah tentu menjadi impian setiap penyanyi dalam industri. Saya juga tidak ketinggalan memasang impian untuk mengadakan konsert solo.
Pada mulanya, saya sendiri tidak yakin, bagaimanapun melihat sokongan peminat yang sudi hadir menyaksikan konsert mini A Nite With Haqiem Rusli baru-baru ini, semangat saya kembali berkobar.
Mungkin tidak segah konsert berskala mega, tetapi cukup sekadar dengan sasaran kehadiran sekitar 2,000 penonton.
Adakah anda bercadang untuk keluar dengan album penuh?
Sudah tentu. Setelah 10 tahun dalam industri, saya ingin mempunyai sebuah album penuh. Album berkenaan masih dalam perancangan dan akan memuatkan beberapa buah lagu.
Saya harap album ini boleh dipasarkan secara digital.
Adakah anda ada diminta menghasilkan lagu untuk artis lain?
Buat masa ini, saya lebih selesa menghasilkan lagu untuk dinyanyikan sendiri. Saya juga pernah mencipta lagu untuk rakan industri.