Tiga tahun sudah berlalu, namun buat Nadiya Nisaa, momen kehilangan cahaya mata kedua yang meninggal dunia dalam kandungannya masih basah dalam ingatan.
Bibirnya masih terkunci dan kisah takdir tersebut ternyata masih berat untuk dikongsikan dalam bicara santai. Puas dipujuk, akhirnya pemilik nama sebenar, Nadiyatul Nisaa Kamaruddin, 34, mengangguk lembut. Naluri keibuan yang terpancar pada sinar matanya menjelaskan segala-gala betapa peristiwa 31 Julai 2016 terlalu berbekas dalam hatinya.
Bagaimanapun sebagai hamba-Nya, dia reda dengan ketentuan Tuhan biarpun ada trauma masih bersisa. Kehadiran anggota baharu dalam keluarga itu, Aminah Rose pada tanggal 1 Januari lalu ternyata menyuntik kekuatan untuk dirinya merelakan pemergian anak keduanya itu.
“Seperti kelaziman ibu yang lain, saya membelek setiap inci bahagian tubuh anak kedua saya, saya lihat wajahnya ketika baru dilahirkan.
“Anugerah Allah itu sangat sempurna walaupun pada ketika itu saya sedar dia tidak lagi bernyawa,” tutur Nadiya mengatur bicara.
Trauma
Tanpa berselindung, Nadiya berkata, impak kehilangan anak keduanya itu benar-benar dirasai ketika dalam proses berpantang. Dia cuba memulihkan semangat untuk meneruskan kehidupan dengan menyandarkan harapan buat anak sulungnya, Omar Saiful Razman dan suami, Saiful Azman Mohd. Kassim.
“Ketika itu, saya sering melihat wajah Omar untuk mencari sumber kekuatan. Sudah tentu suami antara orang yang paling rapat dan tanpa lelah memberikan sokongan moral.
“Saya banyak menyendiri dan sudah tentu sebagai seorang Muslim saya meluahkan segala-gala yang terbuku dalam hati kepada Allah. Cuma sebagai manusia, saya tidak boleh lari daripada mencari kesalahan sendiri sebagai jawapan kepada kehilangan insan yang disayangi,” luahnya.
Kembali menjalani rutin bergelar ibu dan proses berpantang selepas kelahiran Aminah pada Januari lalu, Nadiya berkata, kesediaannya untuk kembali melalui saat kehamilan dan bersalin antara keputusan yang sukar untuk dilakukan.
Masih berada dalam keadaan trauma biarpun reda, pelakon filem Cun itu mengambil tempoh masa selama dua tahun untuk memulihkan diri sebelum bersedia menyuburkan benih cinta dalam rahimnya.
“Mengandung untuk kali ketiga ini saya lebih berhati-hati daripada pelbagai aspek. Setiap kali selepas solat, saya sering memohon supaya Allah menjaga kandungan saya.
“Saya mengelak daripada terjerumus dalam perkara negatif. Saya dan suami juga sepakat untuk tidak menguar-uarkan berita itu kerana enggan terlalu teruja,” jelasnya.
Namun tuturnya, lumrah sebagai manusia yang sering dilanda perasaan lemah, ketika detik melahirkan zuriat ketiganya semakin hampir, hatinya sering mempertikaikan takdir Tuhan.
“Saya kerap melawat pusara anak dan berbicara dengannya. Biarpun dia hanya hadir sekejap di dunia ini, sebagai ibu, saya tidak akan melupakan dirinya,” kata figura yang merangkul anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-24 dan Anugerah Skrin 2011 itu.
Kerjaya
Tidak mahu terlalu lama larut dalam nostalgia, pertemuan bersama Nadiya terisi dengan rencana kerjaya yang menjadi rutin. Kembali tampil di layar perak menerusi filem Bu, Nadiya sedang membina momentum untuk membiasakan diri di set penggambaran.
Mengakui rindu untuk beraksi di hadapan kamera setelah kali terakhir mendokong watak sebagai Sani menerusi filem Interchange dan cameo sebagai Uda (Gol & Gincu Vol.2), Nadiya seboleh-bolehnya mahu mengeimbangi tuntutan kerjaya dan keluarga.
“Aminah baharu berusia dua bulan dan dia masih memerlukan perhatian sepenuhnya daripada saya. Saya mempunyai pembantu rumah tetapi saya tidak melepaskan tanggungjawab mengurus anak hanya kepada pembantu.
“Pada pendapat saya, pada usia awal tumbesaran anak-anak, mereka memerlukan lebih banyak masa bersama ibu bapa,” katanya.
Beruntungnya Nadiya, selain mengamalkan bersikap toleransi dan komunikasi yang baik dengan pasangan, pembahagian masa juga amat penting untuk memastikan keluarga dan kerjaya bergerak seiringan.
“Saya tidak akan membawa masalah pekerjaan masuk ke dalam rumah. Ketika di rumah, saya seorang ibu dan isteri yang perlu meluangkan masa sepenuhnya dengan keluarga.
“Setiap masalah di set penggambaran perlu ditinggalkan di luar sebelum memasuki pintu rumah. Saya bersyukur kerana suami amat memahami kecenderungan saya sebagai pelakon dan kami sering berkomunikasi antara satu sama lain,” dedahnya.
Selain menjayakan watak sebagai Aishah menerusi filem Bu arahan Jeany Amir yang memasuki pawagam sejak 11 April lalu itu, Nadiya akan menjalani penggambaran menerusi sebuah telefilem eksklusif untuk Astro First.
Biarpun bergelar antara pelakon yang sering merangkul pelbagai anugerah atas bakatnya, Nadiya menegaskan, dia tidak pernah memilih untuk berlakon dengan mana-mana pengarah.
“Saya terbuka untuk berkerjasama dengan mana-mana pengarah. Bagaimanapun sudah tentu, saya akan memilih naskhah berdasarkan skrip dan watak.
“Sekiranya terdapat watak yang diberikan berpotensi untuk dibangunkan dengan lebih baik, saya gemar mengadakan perbincangan untuk saling berkongsi input,” jelasnya.
Lebih sedekad dalam industri, Nadiya juga seboleh-bolehnya enggan melakonkan watak sama.
Dia meletakkan pemahaman terhadap karakter sebagai elemen terpenting dalam menjayakan sesebuah naskhah dan sebagai pelakon, dia perlu mencabar keupayaan diri.
“Saya tidak boleh selesa pada satu tahap yang sama. Oleh kerana itu, saya ingin menjayakan pelbagai watak supaya dapat mencabar dan meningkatkan mutu lakonan," terangnya.
Kehilangan cahaya mata kedua kira-kira tiga tahun lalu meletakkan Nadiya Nisaa dalam fasa trauma. Dia harus bergelut dengan emosi dan rasa bersalah untuk meneruskan kehidupan. Namun kini, figura yang pernah dinobatkan sebagai aktres terbaik Malaysia itu bersyukur atas ujian mendekatkan dirinya kepada Pencipta.