Fizz Fairuz menunjukkan laporan polis yang dibuatnya terhadap pengendali akaun Makcik Puaka hari ini.
Selepas tujuh hari memberi tempoh permohonan maaf kepada pengendali akaun gosip Makcik Puaka atas tuduhan menyebar fitnah terhadapnya, pelakon Datuk Fizz Fairuz mengambil tindakan lanjut membuat laporan polis petang tadi.
Laporan itu dibuat Fizz di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk membawa pihak tersebut ke muka pengadilan selepas pengendali akaun itu gagal memunculkan diri seperti dituntutnya pada 7 April lalu.
Sebelum itu, Fizz, 39, melanjutkan tempoh untuk individu itu membuat permohonan maaf dalam masa 24 jam pada Isnin lalu, namun pemilik akaun berkenaan masih gagal berbuat demikian.
“Saya minta dia buat permohonan maaf secara terbuka tetapi dia gagal. Dia ada menghantar mesej kepada saya di Instagram untuk meminta maaf. Tetapi itu bukan permohonan maaf yang saya mahukan,” katanya.
Katanya lagi, beliau juga telah meninggalkan nombor telefon kepada individu itu supaya memudahkan urusannya untuk membuat permohonan maaf.
“Saya beri nombor telefon sekiranya dia berhasrat berjumpa dengan saya secara peribadi. Tetapi semua itu hanya sia-sia kerana dia langsung tidak menghubungi saya,” katanya.
Terdahulu, akaun hiburan itu telah memuat naik satu berita yang memberi gambaran bahawa pelakon itu adalah individu bergelar Datuk Seri yang ditangkap khalwat ketika bercuti di sebuah pulau di Terengganu seperti dilaporkan sebuah akhbar.
Justeru, Fizz menyerahkan kes tersebut kepada pihak peguam termasuklah urusan memfailkan saman fitnah ke atas pengendali akaun Makcik Puaka.