Serasi, secocok, sepadan. Itu antara istilah dan butir-butir kata yang acap kali meniti di bibir peminat dan juga pengikut bagi pasangan pelakon Adam Lee dan Sweet Qismina.
Semuanya gara-gara selepas kedua-duanya bergandingan menerusi drama yang kini hangat menjadi bualan netizen yang berjudul Adam Chempaka bagi slot Lestari terbitan TV3.
Ibarat menikmati mi samyang pedas, tetapi enak. Begitu juga tatkala menyaksikan telatah watak Adam dan Chempaka sebagai suami isteri yang berjaya membangkitkan rasa ghairah peminat K-Pop terutamanya untuk menonton drama cinta versi anak muda itu.
Keserasian antara mereka turut menjadi bualan hangat dan gosip dalam kalangan netizen khususnya pengikut setia drama arahan Idora Abdul Rahman tersebut. Manakan tidak, ramai yang menebak cinta lokasi pasti akan berputik dalam kalangan mereka berdua.
Bagi Adam Lee atau nama sebenanrya Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee, 25, memang tidak dinafikan bahawa keserasian dan keakrabannya bersama pelakon cantik yang selesa dipanggil Sweet ini sering menjadi bualan ramai sejak drama tersebut mula disiarkan.
Menurutnya, bukan setakat dalam kalangan para penonton dan peminat sahaja, malah ia turut mendapat perhatian saudara-mara terdekat, sahabat handai serta yang dekat dengannya.
“Jujur saya katakan, langsung tidak pernah terlintas untuk berlakon dan berkongsi pentas arena lakonan bersama Sweet.
“Namun, peluang dan rezeki tersebut hadir dengan sendiri. Sampai sekarang pun, saya masih tidak percaya dan berasa seperti satu mimpi,” katanya sambil tertawa kecil mengenang sambutan yang diterimanya menerusi drama tersebut.
Cinta berputik
Bagi anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu, memang tidak dapat dinafikan, pada awal mengenai Sweet, perasaan itu biasa-biasa sahaja dan tidak lebih daripada seorang kawan.
"Tapi, perlu saya terus-terang, selepas digandingkan bersama dalam naskhah Adam Chempaka lebih-lebih lagi memerlukan kami untuk menjayakan watak utama sebagai suami isteri, keakraban serta keselesaan itu mula timbul secara sendiri.
“Kebiasaannya, selepas habis sesi penggambaran, kami akan keluar bersama. Jika tidak bersama teman-teman lain, kami akan keluar berdua sahaja.
“Dalam proses mengenali antara satu sama lain itu, banyak persamaan yang kami rasakan ada pada diri kami berdua. Sebagai contoh, dari soal kerjaya, masa hadapan, minat dan keluarga,” tuturnya.
Menurut Adam, sejak daripada situ, hubungan antara mereka semakin akrab dan dekat selain mula berani untuk saling memberikan nombor telefon peribadi masing-masing.
Bagi Sweet pula, dia bersyukur kerana dapat mengenali Adam dan mengakui lelaki tersebut sebagai seorang yang sangat memahami akan kerjaya, diri dan keluarganya.
“Saya selesa apabila berada dan bersama dengannya. Saya juga berasa selamat tiap kali dia ada bersama dengan saya. Dia seolah-olah pengganti kepada mama yang sentiasa ada bersama saya.
“Paling menarik, Adam turut mempunyai ciri-ciri seorang lelaki yang saya suka dan impikan,” katanya ringkas sambil mengukirkan sekuntum senyuman.
Ujar Sweet lagi, hubungan cintanya bersama Adam baharu sahaja di peringkat awal dan masih memerlukan banyak masa untuk masing-masing mengenali dan memahami antara satu sama lain.
“Kami masih lagi dalam proses mengenali antara satu sama lain. Kami pun baru sahaja kenal dan cuba untuk serasikan diri terlebih dahulu.
“Doakan sahaja yang terbaik buat kami berdua. Saya tahu ramai yang inginkan dan berharap agar kami bercinta dan bersatu sebagai pasangan suami isteri secara realiti dan bukan hanya dalam lakonan selepas menonton drama tersebut,” tutur Adam.
Kerjaya
Tutup soal cinta, hati dan perasaan, Adam dan Sweet turut berkongsi kisah mengenai perjalanan dan perkembagan karier serta kerjaya mereka sebagai anak seni.
Bagi Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, 22, dia bersyukur kepada Allah kerana rezeki masih berpihak dan tidak pernah putus dikurniakan kepadanya sejak dia menceburkan diri dalam kancah lakonan.
“Nak cakap soal lakonan, mungkin ramai yang tahu saya mula berlakon sejak dari umur lapan tahun dan di bangku sekolah rendah lagi.
“Alhamdullilah, rezeki yang dikurniakan-Nya bertahan dan masih ada hingga ke hari ini. Saya percaya, selagi bakat yang dikurniakan ini masih diperlukan, selagi itu jugalah saya akan terus berada dalam industri seni,” ujarnya.
Kongsi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular itu lagi, selepas habis daripada penggambaran Adam Chempaka bersama kekasihnya, dia kini sedang sibuk menjalani satu lagi penggambaran bagi sebuah filem genre seram bergandingan bersama pelakon kacak, Syafiq Kyle dan Mimi Lana yang akan mula ditayangkan hujung tahun nanti.
Tambahnya, dia turut bersyukur apabila banyak stesen televisyen dan pengarah mula mempercayai dirinya untuk membawa pelbagai watak yang lebih mencabar dan bukan hanya terhad sebagai watak kanak-kanak sahaja.
Berlainan pula dengan Adam, menyentuh soal perkembangan kerjaya, dia turut seakan-akan tidak percaya akan kejayaan yang dikecapinya hingga kini.
“Saya mula berlakon pada umur 19 tahun dan pada masa itu hanya sekadar memegang watak-watak tambahan dan sampingan. Namun begitu, saya bersyukur atas rezeki yang sudah tertulis buat saya.
“Alhamdulillah, walaupun pernah setahun saya tidak mendapat sebarang tawaran lakonan dan hampir ‘cuci tangan’ dalam industri, namun berkat kesabaran dan rezeki yang diberikan, saya mula diterima semula hingga ke hari ini,” ujarnya.
Menurut lelaki yang pernah bekerja sebagai pelatih peribadi di salah sebuah pusat kecergasan di ibu kota itu, dia bersyukur dan berterima kasih dengan segala kepercayaan yang diberikan terhadapnya.
Adam kini sudah mula sibuk dengan penggambaran bagi drama 30 episod terbitan TV Al-Hijrah yang mana turut menampilkan pelakon berbakat besar, Syafie Naswip.