Pelakon dan pengacara, Anis Al Idrus memaklumkan tidak pernah mengumumkan dirinya sudah bertudung penuh. Katanya, selama ini dia hanya menutup rambut dan berharap agar terus dibukakan hati untuk menjadi Muslimah yang lebih baik.
Menurut Anis atau nama sebenarnya, Sharifah Anis Syed Zainal Al-Idrus, dia selesa dengan penampilan turban dan tidak mahu tergesa-gesa menukar penampilan kepada bertudung penuh.
Tuturnya yang ditemui Kosmo! pada majlis rumah terbuka Aidilfitri A. Aida Production baru-baru ini, apabila bertudung penuh kelak dia berharap bukan hanya penampilannya berubah, tetapi segala aspek sebagai seorang Muslimah harus diperkemas.
Dalam pada itu, Anis yang sudah hampir dua tahun mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Rafzan Nurhikmal Abdul Halim menjelaskan kehidupannya bahagia meskipun belum dikurniakan rezeki cahaya mata.
Mengapakah sejak kebelakangan ini, jarang melihat kelibat anda di kaca televisyen?
ANIS AL IDRUS: Saya masih lagi berlakon, namun sejak kebelakangan ini mudah rasa penat. Selain berlakon dan mengacara, saya sibuk dengan perniagaan.
Disebabkan komitmen yang tinggi, saya rasa lebih baik tidak mengambil begitu banyak tawaran lakonan. Sempena musim raya, saya ada muncul dengan drama berjudul Resipi VIP Glamor.
Dalam pada itu, saya baru selesai menjalani penggambaran drama berjudul Iktibar.
Adakah anda bersikap selektif dalam pemilihan sesuatu watak atau projek lakonan?
Kalau boleh, saya ingin melakonkan watak yang memberi impak. Biar jarang dilihat di kaca televisyen, namun setiap kali membuat kemunculan akan meninggalkan impak kepada penonton.
Lagipun, seperti yang dikata tadi, saya sudah penat. Sejak berusia 19 tahun berlakon, saya sudah kerja terlalu keras. Berlakon drama pula masa banyak dihabiskan di set penggambaran. Saya tidak suka sangat menunggu. Jika diberi pilihan, saya lebih suka mengacara kerana kurang masa dihabiskan untuk menjayakan sesuatu program berbanding projek drama.
Adakah anda melihat imej menutup rambut (turban) sedikit sebanyak telah menghadkan karier lakonan?
Pertama sekali, saya tidak pernah membuat kenyataan saya sudah bertudung penuh. Selama ini, saya hanya menutup rambut dengan imej turban sahaja. Pada saya, kalau ingin bertudung penuh, banyak perkara yang saya perlu ambil kira atau ubah.
Misalnya, dari segi pertuturan dan pergaulan harus dititikberatkan untuk menjaga kehormatan seorang wanita Muslimah. Sebagai seorang pelakon, saya tahu apa yang boleh saya lakukan.
Walaupun masih belum bertudung penuh, perlu menjaga adab. Tiada adegan seks melampau atau seumpamanya dalam projek lakonan.
Masih belum bertudung penuh, adakah anda terbuka untuk melakonkan karakter yang memerlukan anda untuk menampakkan rambut?
Saya akan kekal dengan imej turban buat masa sekarang termasuk ketika berlakon.
Apa yang cuba disampaikan, saya tidak pernah mengumumkan sudah bertudung penuh, namun selesa dengan imej turban (menutup rambut).
Saya tutup rambut untuk menjadi wanita Muslimah yang lebih baik pada masa akan datang. Insya-Allah.
Adakah anda sedar bahawa penjelasan masih belum bertudung akan mengundang kritikan daripada netizen sedangkan selama ini ada antara mereka menganggap anda sudah bertudung penuh?
Pakai tudung bukan satu perkara yang boleh dipaksa. Kritikan akan datang terutama selagi saya masih berada dalam bidang ini.
Keikhlasan pakai tudung mesti datang daripada hati bukan daripada paksaan mana-mana pihak. Ada yang bertudung, tetapi tidak menjaga perangai dan secara tidak langsung akan menjejaskan imej agama Islam.
Bagaimanakah dengan kehidupan peribadi anda selepas dua tahun mendirikan rumah tangga?
Masih belum diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata. Namun, saya bersyukur dengan apa yang saya miliki hari ini, tidak kisah ada anak atau tidak. Lagipun, masing-masing sangat sibuk dengan kerja buat masa sekarang. Doakan sahaja agar saya dah suami dikurniakan rezeki untuk mendapat cahaya mata.