
Keadaan Muhammad Akid Qassyaff akibat daripada insiden berkenaan.
Anak kepada penyanyi Lan Solo, Muhammad Akid Qassyaff, 4, mengalami kecederaan apabila dihempap lelaki dewasa seberat 90 kilogram sewaktu bermain luncur ais di sebuah pusat beli-belah pada Ahad lalu.
Isteri kepada Lan, Nur Sheila Hassim menerusi Instagramnya berkata, anaknya mengalami kecederaan pada pipi kiri dan tidak mampu untuk bangun selepas kejadian tersebut.
“Ketika kejadian itu, macam-macam bermain di fikiran kerana kami berada di bahagian luar gelanggang.
“Bagaimanapun, pihak pengurusan tempat tersebut bertindak pantas manakala lelaki yang terlibat juga kelihatan risau terhadap anak saya,” katanya menerusi perkongsian terkini di Instagram.
Dalam pada itu, Sheila turut mencadangkan supaya pihak pengurusan mengasingkan gelanggang bagi pemain luncur ais amatur dan berpengalaman bagi mengelakkan kejadian seperti itu berulang kembali.
“Sekadar cadangan, mungkin pada masa hadapan pihak pengurusan boleh mengasingkan gelanggang amatur dan mereka yang sudah mahir meluncur.
“Namun, ia sekadar cadangan sahaja. Apa pun, terima kasih kepada semua yang membantu kami,” katanya lagi.
Lan menerusi Instagram turut memuat naik gambar Akid dan meminta pengikutnya mendoakan keadaan anaknya itu. - K! ONLINE