Haneesya Hanee Buat apa malu duduk PPR?




Menghuni flat kos rendah sejak berusia 12 tahun, Haneesya Hanee tidak pernah malu menjadi ahli komuniti itu.

Pelakon dan model eksotik itu memberitahu, biarpun ada yang mempersenda apabila mengetahui keluarganya menghuni kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR), dia tetap bersyukur dengan rezeki diberi.

“Saya tak malu duduk di PPR... Saya tahu asal usul diri. Bagi saya, isu menetap di kawasan PPR tidak pernah menjadi ‘kudis’,” katanya kepada BH Online.

Haneesya dan keluarga menetap di PPR Pudu Ulu, Cheras, di sini, sejak tujuh tahun lalu.

Baru-baru ini, pemenang trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 ini melancarkan kempen anti buli, ‘Say No To Bully & Say No To Cyberbully’ di lokasi perumahan itu.

Bagi Haneesya, memiliki rumah sebagai tempat berlindung dianggap anugerah besar bagi dirinya dan keluarga.


“Pernah dahulu, kami hidup susah sampai jadi gelandangan dan menumpang rumah orang lain.

“Apabila mendapat rumah PPR, ia menjadi suatu pemberian Allah yang amat disyukuri. Dapatlah kami anak beranak berteduh daripada panas dan hujan,” katanya.

Sering dikecam netizen dek kontroversi tak berkesudahan, Haneesya atau nama sebenarnya, Sharifah Haneesya Sayed Sahlan mengaku selesa mendiami flat PPR.

“Saya kenang jasa rumah PPR... Rumah pangsa ini tidak ada salah. Biasalah, tanggapan orang. Keluarga saya seronok hidup berjiran.

“Ramai jiran saya kenal termasuk ramai yang berniaga makanan, di sini. Kami bergaul rapat dan selalu bertanya khabar,” katanya.

Ditanya apakah dia merancang berpindah suatu hari nanti, Haneesya memberitahu:

“Buat masa sekarang, saya ikut kemampuan dan keperluan. Tak terfikir lagi hendak duduk di rumah lain,” katanya.

Previous Post Next Post