Simpati dengan nasib usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang terjejas akibat pandemik COVID-19, Erma Fatima mempromosikan Malakat Mall sebagai platform terbaru memasarkan produk muslim.
Erma memberitahu, peniaga boleh memasarkan produk di pusat beli-belah berkonsepkan produk muslim itu yang sudah memulakan operasi di Cyberjaya, bulan lalu.
“Antara pihak yang terbeban dengan pandemik ini adalah peniaga kecil yang bergantung kepada jualan harian... Mereka perlu dibantu.
“Mungkin peniaga ini tidak tahu Malakat Mall memberi ruang untuk mereka berniaga secara percuma berbanding pasar raya besar lain.
“Bagaimanapun, ada kriteria yang perlu dipatuhi iaitu menjaga kualiti produk dan kemampuan menghasilkan produk secara berterusan, bukannya sekerat jalan.
“Peniaga berminat boleh pergi ke pusat perniagaan terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut. Kita harap selepas ini, peniaga dapat merebut peluang ini demi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Sebagai ahli koperasi kepada pusat perniagaan terbabit, pengarah filem Embun ini berkata, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memaklumkan perkara itu.
“Ramai yang masih belum tahu fungsi penubuhan Malakat Mall kerana selepas dibuka empat hari, negara dilanda penularan COVID-19. Pasar raya ini dibuka untuk membantu meningkatkan ekonomi Islam kerana 80 peratus produk yang dijual adalah hasil keluaran usahawan Muslim.
“Saya menyarankan kepada artis veteran yang mempunyai produk untuk dijual agar menggunakan peluang ini sebaik-baiknya. Saya tahu ada ramai artis veteran kita yang menceburi bidang IKS.
"Sampai bila kita hendak mengharapkan bantuan kerajaan?" katanya.