Mengaku makin kuat makan, pelakon dan penyanyi, Nur Fazura yang hamil anak pertama, memaklumkan kandungannya sudah memasuki usia enam bulan dan bakal bersalin, Oktober depan.
Fazura berkata, dirinya sihat dan mengambil peluang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) untuk menjaga diri dan kandungan.
"Saya sihat sahaja, tiada sebarang alahan dan makin kuat makan," katanya kepada BH Online.
Menjawab spekulasi bakal melahirkan bayi perempuan, Fazura mengaku tidak tahu jantina bayi dikandung.
"Ada yang kata bayi lelaki dan ada meneka bayi perempuan. Pada saya, lelaki atau perempuan itu perkara kedua.
"Apa yang penting, doakan semoga bayi ini sihat dan saya selamat bersalin. Barangan bayi pun saya belum beli lagi," katanya.
Sementara itu, Fattah berkongsi keseronokan menjaga isteri yang hamil.
"Berikutan tiada penggambaran sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dapatlah saya menjaga isteri.
"Adalah perkara normal untuk ibu mengandung menjadi lebih manja dan mengidam itu dan ini.
"Saya bersyukur dapat menjaga dan melayan apa sahaja permintaan isteri," kata penyandang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-30 ini.
Kembali ke set penggambaran selepas tiga bulan berehat, Fattah bimbang penularan COVID-19 belum pulih sepenuhnya.
"Apabila difikirkan, memanglah risau kerana pandemik ini masih belum berakhir.
"Tetapi apabila melihat ramai yang mematuhi garis panduan, ini meyakinkan saya bahawa keadaan akan baik-baik sahaja," katanya.
Khamis lalu, selepas hampir tiga tahun berulang-alik ke mahkamah, Fazura bersyukur kes saman atas dakwaan melanggar kontrak ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam, yang memutuskan perjanjian antara dirinya dan Maydan Trading, iaitu pengeluar produk 'Q Tab', terbatal.
Fazura dilaporkan berkata, keputusan Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril membersihkan reputasi dirinya yang tercemar akibat tuduhan yang disifatkan tidak berasas.
Selain yakin dirinya di pihak benar, Fazura atau nama penuhnya, Nur Fazura Sharifuddin, tidak menolak kemenangannya adalah berkat anak dalam kandungan.
Hakim Mohd Firuz Jaffril membuat keputusan selepas mendapati barangan terbabit tidak mendapat kelulusan pihak berwajib.