Julia Farhana bawa alat solek sendiri demi keselamatan




Pelakon, Julia Farhana Marin antara bintang baharu yang terus diberi kepercayaan syarikat produksi dan stesen televisyen membintangi pelbagai drama serta telefilem.

Pelakon berdarah kacukan Melayu-Itali itu bertuah, rezeki terbuka luas selepas membintangi drama 10 episod, Salon arahan Kabir Bhatia yang bersiaran di stesen ntv7 serta saluran Viu, beberapa tahun lalu.

Ketika ini, pelakon filem Ratu The Movie itu sedang menjalani penggambaran drama Dia Bukan Bidadari, diikuti drama Jangan Pernah Lupakan Aku sebagai teraju utama.

Teruja melunaskan penggambaran dengan prosedur operasi standard (SOP) pada pandemik COVID-19, Julia mengakui sedang membiasakan normal baharu termasuk membawa alat solek sendiri.

"Ikutkan sebelum disuruh mematuhi SOP penggambaran lagi, saya sudah amalkan membawa berus solek sendiri. Sebabnya saya ada masalah kulit sensitif. Jadi, tak susah nak biasakan normal baharu ini.

"Boleh dikatakan hampir setiap hari jika ada masa terluang saya belajar bersolek. Terutamanya solekan semula jadi yang tidak terlalu sarat.

"Saya akan bangun awal sebelum ke lokasi penggambaran untuk bersolek dan mendandan rambut sendiri untuk langkah keselamatan dan berjaga-jaga," katanya kepada BH Online.

Julia yang mula digilap bakat dalam bidang lakonan menerusi drama Asam Pedas Untuk Dia pada 2015 itu berkata, secara peribadi, dia menyukai normal baharu yang dipraktikkan ketika ini.

"Normal baharu ini lebih selamat terutama saat diamalkan ketika berada di lokasi penggambaran. Setiap pelakon dan kru lebih fokus kerana masing-masing menjaga penjarakan sosial.

"Semua yang terbabit juga datang menepati waktu kerana sesetengah lokasi ada batasan masa," katanya.

Previous Post Next Post