PELAKON Ruhainies berkongsi nasihat yang mana untuk mendapat hidup berkat adalah dengan tidak berhutang dan memilih kerja dalam skim menipu orang ramai.
Ruhainies, 27, terdetik menyuarakan pendapat itu selepas melihat sendiri pembongkaran kes seumpama yang berlaku di laman sosial.
"Satu perkara yang buat kita susah nak berjaya adalah sebab berhutang dengan orang. Jangan berhutang lepas itu susah nak bayar.
"Janganlah pelik pula bila segala usaha susah nak berhasil. Duit banyak pun asyik rasa tak cukup. Kerja pun asyik tak menjadi.
"Langsaikanlah hutang sesama manusia di dunia ini. Asyik menunjuk sana sini tapi hutang orang tak nak bayar. 'Scam' orang sana sini lepas itu menunjuk.
"Carilah kerja yang halal. Baru berkat," katanya.
Pelakon Hello, Mr. Perfect itu juga berkata, amalan bersedekah tidak harus diketepikan.
"Dalam dunia ini, kalau nak berjaya mudah. Gembirakan ibu bapa dan banyakkan bersedekah," katanya.
Terdahulu, Ruhainies menerusi IG Story berkongsi tangkap skrin kes skim penipuan yang dibongkar di Twitter. Dia mengakui sedih dengan anak muda yang terbabit dalam skim sebegitu.