PU Amin Jangan sampai wujud pertelingkahan, pendakwah mohon henti hasilkan kandungan prank




Budaya penghasilan video gurauan “prank” di media sosial bukan sahaja disifatkan bertentangan dengan norma masyarakat negara ini malah ditegah dalam ajaran Islam.

Pendakwah Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau PU Amin berkata, gurauan “prank” dilarang dalam Islam kerana ia melibatkan maruah individu selain mampu mencetuskan pertelingkahan dalam masyarakat.

“Prank ada unsur penipuan dan lakonan yang membawa kepada pergaduhan dan pertelingkahan hingga boleh terputus silaturrahim adalah sangat dilarang dalam agama kita (Islam).

“Jaga-jaga dalam berhibur atau menghasilkan content di media sosial kita. Menakutkan orang dengan sesuatu yang direka adalah bencana yang sangat negatif,” katanya di media sosial, hari ini.

Dewasa ini, penghasilan video gurauan “prank” dilihat seolah-olah menjadi budaya baharu terutama bagi segelintir individu dalam menghasilkan kandungan di media sosial.

Terbaharu, seorang wanita telah menjadi 'bahan prank' oleh sekumpulan personaliti media sosial apabila kesetiaannya terhadap pasangan diuji dengan ditawarkan RM20,000.

Terdahulu, PU Amin berkata tegurannya mengenai gurauan 'prank' adalah sebahagian daripada usaha dakwahnya agar masyarakat tidak terus leka dengan bentuk hiburan melalaikan.

Justeru jelasnya, terpulang kepada individu sama ada untuk menerima nasihat disampaikan atau sebaliknya.

“Kalau nak jadi umat yang terbaik jangan kita lakukan lagi. Berhentilah, memang kita kata itu kejutan tapi ia tetap dilarang dan bukan hiburan dibenarkan.

“Insha Allah semoga kita dapat fahami bersama. Saya hanya menyampaikan, terpulang pada semua untuk menerima dan menilainya,” katanya lagi.

Previous Post Next Post