Ejen Ali, Alif & Sofia wakil Malaysia





Dua produk terbitan Primeworks Studios (PWS) iaitu filem animasi Ejen Ali dan Alif & Sofia diumumkan pemenang bagi mewakili negara pada Asian Academy Creative Awards (AACA), Disember depan.

Ejen Ali yang meraih kutipan lebih RM30 juta, terpilih mewakili negara dalam kategori Arahan Terbaik (Fiksyen) pada acara anugerah yang mengiktiraf penerbit kandungan dan produk industri kreatif di Asia Pasifik setiap tahun.

Filem animasi tiga dimensi, Alif & Sofia terbitan bersama Blindspot Studios dan disiarkan di platform YouTube, bakal bersaing dalam kategori Program Prasekolah Terbaik.

Kejayaan Ejen Ali dan Alif & Sofia diumumkan di laman rasmi Facebook (FB) AACA, kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, berkata kejayaan dicapai Ejen Ali dan Alif & Sofia disifatkan cukup bermakna

"Ini adalah pencapaian luar biasa bagi kami. Ditambah peluang mewakili Malaysia untuk bersaing di AACA dan disenaraikan dalam kalangan kandungan terbaik dari seluruh Asia.... Ini suatu pencapaian tinggi bagi kami.

"Apatah lagi dalam tahun yang mencabar ini, lebih-lebih lagi dengan apa yang yang berlaku sekarang akibat wabak COVID-19. Ia benar-benar memberi kesan kepada industri media," katanya dalam kenyataan.

Izham mengucapkan tahniah kepada rakan kerjasama PWS, iaitu WAU Animation dan Blindspot Studios atas kecemerlangan mencipta dan menerbitkan kandungan animasi piawaian tinggi yang dapat membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.

"Tidak lupa ucapan terima kasih kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang turut berganding bahu menyokong perjuangan penerbit animasi tempatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WAU, Usamah Zaid Yasin sangat teruja dengan pemilihan Ejen Ali.

"Terima kasih diucapkan kepada panel juri AACA yang memilih kami. Kemenangan ini menjadi pembakar semangat untuk mengembangkan lagi jalan cerita Ejen Ali kepada skala filem epik dan menjangkau penonton di semua peringkat umur.

"Malah, besar harapan kami supaya visi meletakkan animasi bukan sekadar untuk golongan kanak-kanak, akan menjadi kenyataan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Blindspot Studios, Lukman Nulhakim Othman bersyukur dengan pengiktirafan diterima.

"Ketika mencipta watak Alif & Sofia, kami memikirkan bagaimana dapat membantu ibu bapa membimbing anak-anak dengan kandungan menyeronokkan.

"Prasekolah adalah tempoh peralihan yang paling formatif bagi kanak-kanak dan mencabar bagi ibu bapa. Dengan kejayaan ini, kami merasakan usaha dihargai dan sebagai petanda kami berada di landasan yang betul.

"Ini juga dorongan untuk terus menghasilkan karya bermutu dan mengangkat animasi negara ke peringkat lebih tinggi. Terima kasih PWS dan MDEC kerana menyokong usaha kami sejak hari pertama," katanya.

AACA adalah anugerah tahunan berprestij yang meraikan karya dari Australia, New Zealand, Kemboja, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Acara kemuncak AACA 2020 dijadualkan berlangsung dua hari mulai 3 Disember depan.

Maklumat lanjut mengenai anugerah ini boleh dirujuk dengan melayari www.asianacademycreativeawards.com.

Previous Post Next Post