Hilang diri, Mawar Rashid positif COVID-19

Pelakon Mawar Rashid, 26, mengesahkannya dan keluarga positif COVID-19.

Menerusi pendedahan dalam Instagram (IG) Live, Mawar mengakui, mereka sekeluarga dijangkiti COVID-19, baru-baru ini.

Ia sekali gus menjawab persoalan mengapa pelakon yang mencipta populariti menerusi drama Suamiku Paling Sweet itu mendiamkan diri dalam media sosial selama dua minggu.

Namun, Mawar atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid memaklumkan, dirinya dan keluarga kini sudah bebas COVID-19 selepas dua minggu menjalani kuarantin kendiri di rumah.

"Alhamdulillah, saya dan keluarga sudah habis tempoh kuarantin kendiri, awal minggu ini. Doktor juga mengesahkan kami sudah bebas COVID-19.

"Saya bersyukur ibu saya juga keluar hospital, hari ini," katanya.

Berkongsi lanjut, Mawar berkata, suami, Raf Yaakob mula mengalami demam panas.

"Raf alami demam panas yang teruk, dua minggu lalu. Esoknya, Raf membuat ujian calitan COVID-19 dan disahkan positif.

"Jujurnya, saya memang terkejut kerana risau keadaan anak-anak yang masih kecil.

"Kemudiannya, saya dan semua yang tinggal sebumbung turut positif COVID-19 termasuk dua anak, Raden Muhammad Rafael, 2, dan Raden Seri Rosabella Cinta berusia enam bulan," katanya.

Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-33 itu berkata, pengalaman paling menakutkan apabila anak-anaknya turut positif COVID-19.

"Saya sangat tertekan apabila Rafael dan Rosabella positif. Saya hanya tidur selama dua jam sehari disebabkan menjaga dan memeriksa anak-anak yang demam panas.

"Namun, saya pula jatuh demam selepas lima hari menjaga mereka. Raf pula menjaga saya. Jika dikenang semula, saya merasakan tempoh dua minggu yang sangat panjang," katanya.

Mawar berkata, dia tidak pasti punca mereka mendapat jangkitan memandangkan jarang keluar rumah, melainkan ke pasar raya membeli barangan keperluan makanan.

"Jika tanya, saya tidak boleh nak jawab. Kami sekeluarga banyak duduk di rumah, jika keluar pun sekadar keluar ke pasar raya memberi barangan keperluan. Jadi, saya memang tidak tahu dari mana mendapat jangkitan," katanya.

Justeru, Mawar memasang niat menyalurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan dan kini, sedang giat mengumpul dana bagi membeli tangki oksigen buat pesakit COVID-19 di Hospital Selayang.

"Ketika sakit, saya berniat mengeluarkan RM20,000 bagi membantu petugas barisan hadapan. Sebab saya melihat kepayahan mereka bertungkus lumus bekerja tanpa rehat.

"Selepas berbincang, doktor mengatakan Hospital Selayang memerlukan tangki oksigen. Jadi, saya mahu menyumbangkan tangki oksigen untuk pesakit COVID-19. Orang ramai yang mahu menyumbang, bolehlah menyertai saya," katanya.

Previous Post Next Post