Sarah Suhairi sentiasa waspada

PEMBABITANNYA dalam bidang nyanyian sudah menjangkau usia empat tahun.

Bagaimanapun, Sarah Suhairi, 21, belum pernah terpalit dengan kontroversi hangat berbanding penyanyi seangkatan lain.

Pemenang Big Stage edisi pertama ini berkata, dia seboleh mungkin berusaha menjaga nama baik keluarga serta kepercayaan yang diberikan.

"Saya selalu berfikir terlebih dulu sebelum buat sesuatu terutamanya perkara berkaitan karier dan keluarga. Persediaan secukupnya dah dibuat daripada segi fizikal dan mental.

"Diikutkan waktu saya mula-mula nak masuk dalam nyanyian, hasrat saya ditentang oleh ibu. Agaknya dia mungkin risau kerana saya anak perempuan pertama dalam keluarga.

"Maklumlah banyak ujian dan cabaran dalam seni yang mungkin boleh buat saya terkesan. Jadi, ini buat saya sentiasa berhati-hati dan apapun akan utamakan maruah diri dan keluarga," katanya.

Karier Sarah sepatutnya bersinar gemilang selepas kejayaan dalam Big Stage pada 2018.

Bagaimanapun, pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk negara ternyata menjejaskan kariernya.

"Alhamdulillah, dari segi kerjaya saya dikira sukses kerana saya ada kelompok peminat tersendiri terutama golongan muda.

"Namun, tak dinafikan saya agak terkesan dari segi tawaran persembahan kerana sejak tahun lalu lagi saya tak dapat membuat persembahan untuk penonton. Apapun saya kena akur untuk kebaikan semua pihak. Saya bersyukur kerana tinggal bersama keluarga dan dapat luangkan masa bersama mereka," katanya.

Begitupun Sarah tidak leka apabila tetap buat persediaan untuk karier dari rumah.

"Saya ada mini studio sendiri dan setiap hari akan buat latihan vokal. Perkara ini perlu dibuat berterusan. Selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan penuh berakhir, mungkin saya akan turun padang untuk kembali bertemu peminat yang banyak berikan sokongan.

"Sebenarnya, tempoh yang ada juga saya gunakan sebagai pembimbing kepada adik yang masih bersekolah menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR)," katanya.

Sarah berkata, adik bongsunya yang berusia 11 tahun perlu dipantau ketika PdPR.

"Ibu bapa saya masing-masing sibuk bekerja. Untuk itu, saya kenalah ambil alih jadi cikgu serta membantu adik belajar secara virtual hampir setiap hari.

"Secara tak langsung saya perlu ingat semula pembelajaran ketika bersekolah dahulu untuk bantu dia belajar sekarang," katanya.

Tampil dengan Andaikan

Sarah kini tampil dengan single terbaru ciptaan komposer terkenal, Sharon Paul dan lirik Shah Shamshiri berjudul Andaikan.

Apa yang menarik, lagu ini disimpan selama dua tahun kerana sememangnya dicipta khusus untuk menjadi lagu runut bunyi (OST).

"Pihak syarikat rakaman saya sebelum ini pernah juga mencadangkan lagu ini untuk beberapa buah drama, tapi belum ada yang sesuai ketika itu.

"Sehinggalah ia akhirnya terpilih untuk menjadi lagu OST sebuah drama TV3 berjudul Hatimu Sedingin Salju.

"Sebagai lagu yang dah lama dirakam, sudah tentu beberapa perubahan dari segi susunan muzik dibuat untuk memberikan kesegaran terhadap Andaikan," katanya.

Andaikan adalah single solo Sarah Suhairi yang keenam selepas Pedih, Nyawa & Raga, Rise & Fall, Mungkin dan Kau Yang Bertakhta.

"Ia menunjukkan sisi lain vokal saya kerana lagu genre balada ini mempunyai melodi yang cukup indah dengan disertakan dengan bait-bait lirik yang penuh emosi. Kebiasaannya lagu sebegini dinyanyikan oleh penyanyi yang mempunyai vokal hebat seperti Misha Omar dan beberapa yang lain. Apapun saya dah berusaha memberikan yang terbaik dan harap peminat dapat menerimanya," katanya yang menonton drama Korea (K-Drama) untuk menyuntik penjiwaan kecewa dalam lagu terbabit.

Disebabkan kekangan akibat PKP penuh, Sarah sendiri menghasilkan muzik video ini dengan bantuan adiknya.

"Saya amat gembira dan bersyukur kerana ada beberapa peralatan seperti kamera selain adik yang

pandai menggunakan alat-alat ini. Dia yang buat semuanya dan hasilnya boleh dikira membanggakan," katanya.

Previous Post Next Post