Walaupun agak cenderung melakonkan watak antagonis, ia langsung tidak menyekat peluang pelakon jelita, Raja Ilya Raja Mohamed mengorak langkah lebih maju dalam usaha membina namanya di persada industri hiburan tanah air.
Mengakui peminat juga sudah sinonim dengan ‘karakter hitam’ dibintanginya, gadis yang cukup dikenali menerusi lakonan mantap dalam drama seperti Mana Hilangnya Juwita, Epilog Cinta Kirana dan Dahlia itu berkata, dia bersyukur peminat masih boleh menerima.
Katanya, tidaklah dia dicemuh dengan karakter itu sebaliknya ia membantu melonjakkan namanya untuk dikenali ramai.
Menurut Raja Ilya, penerimaan peminat sangat bermakna baginya.
“Ketika mula-mula ditawarkan untuk melakonkan watak antagonis, memang saya bimbang dan tidak yakin. Namun, apabila melihat hasilnya pada setiap drama dibintangi itu peminat menerima dengan baik, saya akur.
“Pada saya, peminat sekarang sudah bersikap terbuka dan mampu membuat penilaian baik. Mereka juga sudah faham bahawa saya bersikap ‘jahat’ hanya dalam drama saja. Itu pun disebabkan saya seorang pelakon,” katanya.
Semakin yakin menggalas kepercayaan pengarah untuk melakonkan watak antagonis, Raja Ilya berkata, dia juga agak bimbang untuk melakonkan watak wanita teraniaya dalam drama popular adaptasi novel, Love You Mr Arrogant! di TV3.
“Tak dinafikan, saya sangat risau untuk melakonkan watak Safiya itu kerana mampukah saya menzahirkan penderitaan emosi seorang wanita yang dianiaya oleh suaminya. Apatah lagi pada drama pernah dilakonkan, saya sering disogok dengan watak antagonis.
“Namun, tidak wajar mengaku kalah sebelum mencuba membuatkan saya harus yakin untuk menyahut cabaran itu. Justeru, saya cuba sebaik mungkin menjiwai karakter Safiya yang derita,” katanya.
Pernah meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Filem Malaysia Tamil 2011 di Chennai, India pada 2012, Raja Ilya juga pernah mendapat peluang daripada penerbit, pengarah, pelakon, pengacara dan pelawak Afdlin Shauki untuk membintangi filem Appalam sebagai teraju utama.
Sudah enam tahun bekerja keras membina namanya dalam dunia lakonan, gadis kacukan Melayu-Malayalam yang pernah membintangi drama Tamil seperti Tup Periyum Pulli dan Agguran itu mengakui kelompok peminatnya lebih terarah kepada kaum India.
Bahkan, Raja Ilya berkata, dalam laman Facebook miliknya juga lebih banyak peminat India mengikuti perkembangan kerjaya lakonannya berbanding Melayu.
Justeru katanya, dia sangat terharu dengan sokongan diberikan. Malah dalam perkembangan karier lakonannya pula Raja Ilya memberitahu dia turut membintangi telefilem Kata Hati untuk slot Carekarama di TV3.
Selain itu, pada Februari ini juga Raja Ilya dijangka terbang ke India bagi menjalani penggambaran filem Tamil yang diarahkan sutradara terkenal, Venket Prabu.
“Ini adalah kali kedua sebenarnya saya dilamar untuk berlakon filem Tamil di bawah produksi filem sama. Saya sangat teruja walau pun tarikh sebenar ke India belum diketahui lagi.
“Apapun, sebelum ini di bawah arahan Venket, saya pernah membintangi filem Briyani yang sudah pun ditayangkan di India pada tahun lalu dan sambutannya juga agak baik,” katanya.
Raja Ilya yang pernah bertugas di awan biru sebagai pramugari, bagaimanapun mengakui dia tidak begitu cerewet dalam memilih watak dan buktinya Raja Ilya muncul untuk watak penampilan khas dalam filem Pilot Cafe arahan Osman Ali. Ujarnya, dia sedia melakonkan karakter yang mampu dijiwai dan sesuai.