Kutip RM12.92 Juta, Filem ‘The Journey’ Padam Rekod ‘KL Gangster’

Sehingga 23 Februari 2014, filem ‘The Journey’ yang dipersembahkan Astro Shaw, terbitan Woohoo Pictures telah mencatat kutipan tiket sebanyak RM12.92 juta sekaligus mencatat rekod sebagai filem tempatan paling laris dalam sejarah perfileman negara.

Jumlah tersebut sekaligus memadam rekod kutipan tiket paling tinggi yang dipegang filem ‘KL Gangster’ arahan Syamsul Yusof sebanyak RM11.74 juta ketika tayangan pada 2011.

Selepas 25 hari berada di pawagam seluruh Malaysia sejak ia ditayangkan pada 30 Januari lalu, jumlah penonton masih belum berkurangan, dan itu telah melanggar trend tradisi filem-filem yang ditayangkan sebelum ini.




Sementara itu pengarah filem tersebut, Chiu Keng Guan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana telah menjadikan filem The Journey sebagai filem paling laris dalam sejarah.

Pihak produksi filem ini termasuk pelakon dan pekerja filem merasa bersyukur dan terkejut dengan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada penonton yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang tidak henti-henti mempromosikan filem ini menerusi Facebook, Twitter, Instagram dan perbualan harian mereka.



‘The Journey’ ialah sebuah filem buatan Malaysia yang menepati citarasa rakyat tempatan melangkaui budaya dan generasi, dengan meraikan nilai-nilai ketaatan kepada ibu-bapa, kasih sayang, perpaduan keluarga, kepelbagaian budaya dan juga pertembungan budaya Timur dan Barat serta ketegangan hubungan ibu bapa dan anak.

‘The Journey’ merupakan filem ketiga daripada trilogy yang diarahkan oleh pengarah Chiu Keng Guan setelah menghasilkan Woohoo! (2010) dan Great Day (2011), kedua-duanya turut meraih kutipan yang tinggi di pawagam.

‘The Journey’ masih ditayangkan di pawagam seluruh negara dan bakal memasuki tayangan di Singapura pada bulan Mac depan. Filem ini juga bakal diedarkan di Taiwan dalam tahun ini.
Previous Post Next Post