Tarikan cinta Sarimah Ibrahim, Tunku Jamie



Bagai pinang dibelah dua, sama cantik dan sama padan. Itulah ungkapan yang boleh diucapkan buat pengacara popular Sarimah Ibrahim, 37, dan suaminya, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, 43, yang selamat bergelar suami isteri Khamis lalu. Tunku Nadzimuddin merupakan cucunda kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10.

Berlokasikan Hotel Prince & Residence di Kuala Lumpur, Sarimah yang tampil serba ringkas dengan baju kurung berwarna putih kelihatan berseri-seri. Begitu juga dengan Tunku Nadzimuddin atau mesra di sapa sebagai Tunku Jamie.

Senyuman meleret sambil mata berkaca usai majlis pernikahan mempunyai makna yang cukup mendalam. Masakan tidak, majlis itu menjadi saksi perkahwinan kedua buat mereka.

Tutur Sarimah, selepas bercerai dengan suami pertama pada penghujung 2008, dia tidak pernah menyangka akan bertemu jodoh dengan Tunku Jamie.

Umpama tarikan magnet pada pertemuan pertama, hanya sembilan bulan berkenalan, Sarimah menerima lamaran daripada ahli perniagaan itu dan mereka bertunang pada 27 September tahun lalu.


"Saya tertarik dengan Tunku Jamie sejak pertemuan pertama lagi. Dia cukup berbeza dengan lelaki yang saya pernah kenal. Apa yang menarik tentang Jamie, dia seorang yang budiman dan tidak pernah tergesa-gesa dalam perhubungan.

"Pada awal perkenalan, dia memberi masa untuk saya buat keputusan tentang hubungan. Dia juga lelaki Melayu pertama yang hadir dalam hidup saya secara serius.

"Saya memang tidak sangka hubungan kami akan berjalan sejauh ini dan rasanya, dia lelaki yang tepat untuk saya habiskan usia tua bersama," tutur Sarimah sambil menjeling manja kepada suaminya.

Kongsi penyanyi yang pernah popular dengan lagu Kini Kau Tiada itu lagi, kegagalan perkahwinan pertamanya membuatkan dia berazam untuk menjadikan ikatan bersama Tunku Jamie sebagai perkahwinan yang terakhir.

"Saya harap perkahwinan ini jadi yang terakhir dalam kehidupan saya. Kegagalan rumah tangga pertama banyak memberi pengajaran dan mematangkan saya. Ketika berkahwin pada usia 25 tahun dahulu, mungkin saya tidak begitu bersedia.

"Saya sedar banyak kesilapan yang harus saya baiki untuk menjayakan perkahwinan kedua ini. Sekarang, dengan usia lebih matang, pasangan saya juga mempunyai pengalaman yang sama.

"Jadi, kami akan cuba bertolak ansur dan banyak berterus terang," kata Sarimah yang turut menerima mas kahwin RM6,000 pada majlis akad nikah tersebut.


SAMA cantik dan sama padan. Sarimah dan Tunku Jamie diraikan dalam majlis resepsi serba ringkas pada malam hari pernikahan mereka, Khamis lalu.

Serasi bersama

Sambung wanita berketurunan Melayu-Ireland itu, sepanjang perkenalan dengan Tunku Jamie, mereka cukup serasi bersama walaupun mempunyai minat yang berbeza. Selain berkongsi tarikh lahir pada bulan yang sama, 19 Februari (Sarimah) dan 20 Februari (Tunku Jamie), mereka saling menyokong minat masing-masing.

"Saya minat aktiviti lasak dan suka menghabiskan masa di gim. Berbeza dengan Tunku Jamie, dia langsung tidak sukakan aktiviti lasak tetapi saya katakan kepadanya, jika ingin hubungan kekal, dia harus cuba menikmati hobi saya, begitu juga sebaliknya. Tidak lama selepas itu, dia terus mendaftar sebagai ahli di sebuah gim.

"Dia pula suka berkaraoke, jadi sebagai penyanyi saya juga boleh turut serta dengan hobinya. Apa pun, kami akan berbincang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Bohonglah jika tidak pernah bergaduh, kami sama seperti pasangan yang lain juga. Namun, dia banyak bertolak ansur, itu yang membuatkan hati terpikat kepadanya," tutur Sarimah.


SARIMAH dan Tunku Jamie mengharapkan perkahwinan mereka kekal sehingga akhir hayat.

Dua dunia

Bagi Tunku Jamie pula, peluang kedua bergelar seorang suami selepas kegagalan perkahwinan pertama dahulu memberikan makna yang cukup besar buatnya. Sarimah hadir sebagai pelengkap yang begitu istimewa dalam hidupnya.

"Dia seorang wanita yang bijak, penyayang, memahami dan sangat hebat. Saya tidak pernah bertemu dengan wanita sepertinya. Apabila bersama Sarimah, kehidupan saya lebih tenang dan relaks. Dia kurniaan Allah untuk saya dan berharap perkahwinan ini akan kekal sehingga akhir hayat," luah Tunku Jamie.

Meskipun berkahwin dengan keluarga kerabat diraja, Sarimah sudah mula menyesuaikan diri. Baginya, kehidupan golongan kerabat diraja dan selebriti tidak banyak bezanya.

Sebagai selebriti, Sarimah sudah biasa bertemu peminat, begitu juga dengan Tunku Jamie. Statusnya sebagai keluarga kerabat diraja menyebabkan Tunku Jamie sering bertemu masyarakat dan menghadiri pelbagai keraian.

"Kerabat diraja juga selebriti tetapi mereka lebih privasi. Saya pula tidak mempunyai privasi. Tunku Jamie banyak memberi tunjuk ajar tentang protokol istana dan Alhamdulillah saya sudah mula menyesuaikan diri," kata Sarimah.

Bercakap soal masa depan sebagai selebriti, sejak kebelakangan ini Sarimah sudah mula memperlahankan kerjaya seni demi memberi fokus terhadap kehidupan peribadi.

"Saya mula memperlahankan kerjaya seni. Sebab itu, saya pilih menjadi penyampai radio kerana mahukan ruang memikirkan apa yang diinginkan dalam kehidupan dan beri fokus kepada diri sendiri.

"Jika suami membenarkan saya meneruskan kerjaya dalam bidang seni, saya akan teruskan seperti biasa, cuma saya harus bijak membahagikan masa antara kerja dan keluarga," bicara Sarimah lagi.

Tunku Jamie pula hanya tersenyum dan berkata, dia mengenali Sarimah sebagai seorang selebriti dan tidak pernah menghalang wanita itu daripada melakukan kerja yang diminatinya.

"Saya tidak kisah untuk dia terus bekerja. Janji dia gembira, saya tiada sebarang halangan," luah Tunku Jamie.

Bercakap soal anak pula, pasangan yang bakal berbulan madu di New York, Amerika Syarikat selama tiga minggu pada Jun depan itu menyerahkan rezeki tersebut mengikut ketentuan Allah.

"Rezeki anak datangnya daripada Allah. Saya tidak pernah merancang jumlah anak yang bakal kami miliki. Cuma jika boleh saya mahu anak sepasang, seorang lelaki dan perempuan," tuturnya menutup bicara.

Previous Post Next Post