Yuka Kharisma Cuba Nasib Di Malaysia



Penyanyi baharu kelahiran Indonesia Yuka Kharisma memilih strategi berbeza mahu mengukir nama di negara ini sebelum menawan hati peminat di negaranya sendiri.

Yuka, 25, berkata, perancangan itu adalah keputusan daripada syarikat rakamannya iaitu Mentari Records yang ingin cuba menongkah arus dalam melihat penerimaan masyarakat terhadap kehadirannya sebagai seorang penyanyi.

"Pihak syarikat rakaman mengubah strategi dengan memperkenalkan nama saya di Malaysia sebelum di negara sendiri dan kerana itu saya menetap di Malaysia bagi memudahkan aktiviti promosi.

"Saya rasa, tidak kiralah di mana kita berada, asalkan berusaha, kejayaan pasti akan memihak kepada kita," katanya kepada mStar Online.

Tambah Yuka, sebagai usaha menambat hati pendengar muzik tempatan, dia mengambil peluang bekerjasama dengan komposer Azlan Abu Hassan dan Shah Samshiri muncul dengan single lagu baharu berjudul Dengan Tiada Luka.

Selain itu sebanyak dua buah lagu turut dirakam Yuka berjudul Kita Harus Percaya dan Bersedia ciptaan Azlan.


Yuka Kharisma

Yuka yang sebelum ini pernah menetap di Sungai Petani, Kedah fasih berbahasa Melayu dan ini memudahkannya dalam menghayati lagu yang dibawakan selain membolehkan dia untuk berkomunikasi dengan peminat-peminat muzik tempatan.

Sementara itu, Yuka berkata, walaupun sudah lama berkecimpung dalam industri muzik selepas mendapat tempat kelima dalam pertandingan Indonesian Idol pada tahun 2008, dia mengakui perjalanan kariernya agak perlahan berbanding penyanyi-penyanyi lain.

Namun dia bersikap positif menganggap rezekinya masih belum tiba untuk dikenali di Malaysia mahupun negaranya sendiri.

"Saya bersikap positif. Bagi saya, selagi ada usaha, selagi itu kejayaan itu akan menghampiri kita, lambat atau cepat sahaja.

"Tetapi saya bersyukur, walaupun pergerakan saya agak lambat, tetapi progresnya tetap ada," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Yuka berkata dia juga bakal membintangi beberapa filem terbitan produksi tempatan.






Previous Post Next Post