Aliff Aziz Muncul Jelaskan Kemana Hilang


Aliff hanya mahu berehat dan meluangkan masa bersama keluarga di Singapura.

Penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz yang sebelum ini dikatakan 'hilang' akhirnya muncul dengan janji untuk berubah selepas menyepikan diri sejak sebulan lalu.

Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 23, berkata, dia kini sedang menguruskan beberapa hal berkaitan peribadi termasuk menggunakan waktu tersebut untuk berehat bersama keluarga di tempat kelahirannya itu.

"Saya tidak hilang, bersembunyi atau melarikan diri daripada sesiapa atau pun mempunyai masalah kewangan. Saya cuma berehat daripada industri seni buat sementara bagi menguruskan beberapa hal peribadi.

"Apabila sudah bersedia nanti saya akan kembali semula, namun buat masa ini saya mahu berehat secukupnya dan meluangkan masa bersama keluarga," ujarnya ketika menghubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Aliff berkata demikian bagi menjelaskan keadaannya yang dikhabarkan menghilangkan diri sehingga gagal dihubungi oleh beberapa pihak yang ingin berurusan dengannya sejak sebulan lalu.

mStar Online pada Rabu lalu melaporkan tindakan Aliff yang gagal dihubungi menimbulkan masalah kepada syarikat rakamannya iaitu Sony Music apabila banyak jadual berkaitan sesi fotografi dan undangan persembahan terpaksa dibatalkan.






Dalam pada itu Aliff berkata, dia sudah pun menghubungi pihak pengurusannya bagi menjelaskan perkara itu.

Tambahnya, ini merupakan kali pertama dia mengambil tindakan untuk berehat sementara daripada industri hiburan sejak menceburi bidang nyanyian bermula pada tahun 2007.

"Saya rasa ini masa yang paling sesuai kerana selama ini saya sudah bekerja keras sepanjang berkecimpung dalam industri ini dan saya rasa ingin berehat sekejap untuk mencari ruang untuk diri saya sendiri," ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang tindakannya membuang gambar-gambar di laman sosial Instagram, Aliff berkata, dia hanya ingin memulakan hidup baharu.




Dia juga akan kembali semula dalam industri hiburan dengan semangat baharu tanpa melihat kembali kontroversi yang pernah dilaluinya sebelum ini.

"Saya padam semua gambar-gambar di Instagram kerana ingin mulakan hidup baru, saya tidak mahu lagi mengenang apa yang berlaku dulu.

"Saya berjanji untuk kembali semula dengan Aliff yang baru dan saya harap peminat menerimanya," ujarnya.
Previous Post Next Post