Di sini lahirnya cinta Andre, Najwa



RUMAH pusaka, Rumah Penghulu Abu Seman di tengah kota metropolitan Kuala Lumpur itu seolah-olah kembali bertuan.

Disinggahi dua nama, penyanyi Najwa Mahiaddin dan ikon lagu Melayu asli Datuk Andre Goh, rumah itu menukar dimensi seperti kembali ke zaman nostalgia. Diserikan lagi dengan kehalusan persalinan tradisi yang disediakan pereka Salikin Sidek serta koleksi peribadi Najwa dan Andre, penyatuan semangat dan jati diri dua penyanyi itu memancarkan sebuah konotasi untuk dimengerti.

Beza generasi, aliran muzik, corak pemikiran dan budaya kehidupan diletak ke tepi. Di situ mereka duduk dan berdiri sebagai kelompok penyambung warisan. Najwa membina karier nyanyiannya sebagai penyanyi dalam aliran muzik R&B dan soul manakala Andre dengan lagu-lagu Melayu aslinya. Sesuatu yang menarik Andre, 68, bukanlah orang Melayu sebaliknya lelaki berketurunan Baba Nyonya di Melaka yang menyanyikan lagu-lagu Melayu Asli sepanjang kariernya.

Kontradiksi itulah yang cuba diselami. Kecintaan terhadap khazanah budaya seperti yang dilakukan oleh Najwa dalam lagu Seri Mersing bagai terhampar menjadi jambatan. Menjadikan gandingan julung-julung kali ini lebih bermakna, tema Hari Kemerdekaan ke-57 tahun ini, Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta tersulam indah dalam bicara yang sengaja disusun sedemikian rupa.

"Saya sebenarnya sudah lupa apakah tema Hari Kemerdekaan tahun lepas, tetapi tahun ini berbeza sekali. Tetapi saya cukup sedar, setiap kali tibanya Hari Kemerdekaan, lagu-lagu seperti Tanggal 31, Bahtera Merdeka dan Tanah Pusaka akan selalu berkumandang. Apabila ada konflik atau mahu menyatukan rakyat, lagu-lagu begitu juga yang akan dimainkan. Tahun ini berbeza. Saya cukup terkesan apabila seni kata pertama dalam lagu Warisan nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad diangkat sebagai tema.

"Terasa betapa seni dan anak seni itu diberi perhatian. Ayat pertama (di sini) itu dalam maksudnya," lelaki yang telah melewati usia emas itu mula mengatur pandangan.



KONTRADIKSI yang ketara di antara Andre Goh dan Najwa Mahiaddin menjadi tenggelam apabila masing-masing bercerita tentang betapa cinta dan bersemangatnya mereka terhadap lagu Melayu asli.

Emosinya sebagai pejuang lagu-lagu Melayu asli sedikit terkesan, beliau mengenangkan nasib lagu Melayu asli di bumi sendiri.






"Saya selalu rasa bahawa artis selalu diketepikan, bila nak guna baru ambil, lagu-lagu Melayu asli juga begitu. Sebab itu kita harus ada pelapis. Saya bangga dengan Najwa apabila dia kembalikan lagu Seri Mersing. Dalam sibuk berpolitik, pemimpin juga harus peka dengan survival lagu-lagu Melayu asli. Apapun, tema kemerdekaan tahun ini yang mengambil seni kata lagu memang memberi jiwa kepada orang seni seperti saya," ujar pemilik nama sebenar Goh Eng Boon itu.

Kembali mengenangkan usia yang telah ditinggalkan, penyanyi yang popular dengan lagu-lagu seperti Bunga Desa, Baju Hitam dan Harapan Kecewa itu tidak pernah terfikir bagaimana anak Cina sepertinya boleh menyanyikan lagu Melayu.

"Persoalan itu hanya dikemukakan orang kepada saya, bagi saya lagu dan muzik itu universal. Saya bangga kerana sampai ke hari ini, saya dikenali dan diberi penghargaan kerana nyanyian lagu-lagu Melayu asli.

"Saya menyanyi lagu Melayu bukan nak kaya tetapi kerana terpikat kepada kehalusan, muzik dan seni lagu Melayu asli itu," ujar Andre yang menerima Anugerah Darjah Mulia Seri Melaka pada tahun 2011 yang membawa gelaran Datuk.

Menyifatkan beliau sebagai patriot seni, Andre segera bertegas. Katanya, selagi setiap individu itu mempersoalkan haknya walaupun tentang sekecil-kecil isu, itu sudah cukup untuk dianggap patriotik.

"Setiap orang mempunyai patriotisme dalam cara masing-masing. Tak kibar Jalur Gemilang tak pergi Dataran Merdeka sambut merdeka bukan bermakna seseorang itu tidak patriotik, mungkin dia ada cara lain," ujarnya sambil menitip satu pesan buat Najwa.

Pesan beliau, lagu Melayu asli itu khazanah budaya dan warisan negara, pegang itu dan jangan dirosakkan ia dengan melodi yang mengelirukan generasi di kemudian hari.


NAJWA MAHIADDIN kini tamat pengajian muzik di AS dan kembali meneruskan karier nyanyiannya dengan buah tangan yang lebih segar untuk menawan peminat seni hiburan tempatan.




Seri Mersing simbolik patriotisme - Najwa

Faham benar apa yang cuba disampaikan, penyanyi ini tidak hanyut dibuai kemodenan dan seni muzik yang telah didalami.

"Saya sendiri tidak sanggup untuk merosakkan keindahan melodi lagu Seri Mersing. Apa yang saya buat ialah menyusun semula muziknya dengan elemen muzik elektronik. Sebelum ini, ayah dan ibu menjadi orang pertama yang mempersoalkan apa rasional saya merakamkan Seri Mersing dengan muzik sebegitu," akur Najwa dalam penjelasan.

Asalnya Seri Mersing dirakam semula bagi memenuhi tuntutan pengajian, namun proses pembikinan itu sendiri mencetuskan satu perasaan berbeza buat penyanyi yang popular dengan lagu Got To Go itu.

"Apabila saya di luar negara, kawan-kawan kolej bertanya tentang budaya dan muzik orang Melayu. Ketika itu juga saya teringatkan Seri Mersing. Sebagai anak Johor, lagu itu sangat dekat dengan saya dan keluarga. Saya tidak pernah belajar tentang lagu Melayu asli, tetapi terdidik dan ia tertanam di jiwa sejak kecil," lenturnya yang mengabadikan nafas baharu Seri Mersing ke dalam album keduanya berjudul Aurora.

Usai menamatkan pengajian di Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat, berada di luar negara cukup menyedarkan Najwa betapa kasih dan cintanya tumpah di tanah air sendiri.

"Kalau saya tidak kerana cinta kepada budaya dan negara, saya tak rakamkan lagu Seri Mersing. Perasaan sayang, rindu terhadap asal-usul diri itu sangat dirasai bila berada di luar negara. Kalau berada dalam negara, selalunya kita ambil mudah, tetapi di luar sana tidak. Selagi boleh kita mahu terbitkan rasa bangga orang luar. Buat apa-apa pun, rasa seperti mewakili negara.

"Samalah dengan pembikinan lagu Seri Mersing, saya buat dengan rasa tanggungjawab kepada bangsa dan khazanah negara," penyanyi berusia 28 tahun itu menzahirkan pegangannya.
Previous Post Next Post