Debaran Erin Malek



KURANG sebulan lagi, pelakon cantik ini bakal diijabkabulkan dengan jejaka pilihannya, Farriz Fauzy, 30, setelah mengikat tali pertunangan pada 21 Jun lalu.

Memilih tarikh keramat itu pada 10 Oktober ini, Erin Malek atau nama sebenarnya, Nur Arina Abdul Malek, 20, mengakui debaran itu kian terasa.






"Sebenarnya, saya dah lama rasa cuak dan berdebar. Namun, kini debaran itu semakin kuat, apatah lagi Farriz turut mengalaminya. Malah, dia lebih nerveous daripada saya.

"Insya-ALLAH, saya doakan yang baik-baik sahaja dan sejujurnya saya sudah bersedia untuk bergelar isteri," katanya yang turut menerima beberapa tajaan untuk majlis perkahwinannya itu.

Tambah pelakon filem, Awak Nak Kahwin Dengan Saya? ini, dia bersyukur kerana segala persiapan telah pun selesai dilaksanakan.

"Alhamdulillah, semuanya telah selesai cuma kini kami sedang sibuk menghantar kad jemputan kepada saudara mara dan rakan-rakan," katanya lagi.

Majlis pernikahan mereka bakal berlangsung pada malam Jumaat, 10 Oktober ini di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur dan majlis resepsi diadakan keesokan hari di lokasi sama.




Hanya berpegang tangan!

Lumrah bergelar selebriti, pasti ada kontroversi yang menghambat diri. Malah, baru-baru ini, Erin dan Farriz didakwa berkelakuan manja 'sakan' sehingga mengundang rasa tidak selesa orang awam yang menghadiri acara, Matta Fair 2014 pada awal September lalu.

Ditanya mengenai perkara itu, Erin menganggap ianya sebagai dugaan bakal pengantin dan lebih selesa memberi fokus kepada majlis perkahwinan yang bakal menjelang.

"Saya sendiri nak tahu siapa yang cuba mengaibkan saya ini kerana saya masih ingat situasi dan pakaian saya pada hari berkenaan. Kenyataan itu sama sekali tidak benar.

"Saya mengaku, kami berpegangan tangan seperti pasangan tunang yang lain. Bukannya aksi berlebih-lebihan seperti yang didakwa. Sejujurnya perkara ini turut memberi impak kepada kedua belah keluarga kami dan kami perlu menjelaskannya.

"Alhamdulillah, kami mempunyai keluarga yang sangat memahami. Pun begitu, kami tidak tertekan dengan perkara ini malah Farriz juga lebih rileks. Cuma tak dinafikan, ada sedikit rasa geram kerana itu semua adalah fitnah," katanya yang mengaku dia dan bakal suami bersedia dengan segala dugaan mendatang.
Previous Post Next Post