Senario versi kartun Senario Toons



SELEPAS 20 tahun berkecimpung dalam bidang seni, Senario diberi penghargaan menerusi Anugerah Khas Juri dalam Anugerah Lawak Warna, baru-baru ini.

PERNAH mendominasi dunia lawak tempatan sekitar tahun 1990-an, era berkenaan menjadi era kegemilangan buat kumpulan Senario. Pada zaman tersebut, siapa yang tidak kenal dengan setiap anggota Senario seperti Wahid, Mazlan, Azlee, Apek, Yassin, Hamdan dan Ilya. Mereka boleh disifatkan sebagai legenda dalam bidang lawak.






Seiring peredaran masa dan kemunculan banyak muka baharu dalam bidang lawak yang semakin meriah, nama Senario tenggelam.

Ternyata, biar sudah tidak kerap muncul di kaca televisyen seperti dahulu, Senario yang kini mencecah usia 20 tahun sebenarnya masih bernafas.

Tanggapan bahawa saki baki kumpulan itu yang masih bersama iaitu Abdul Wahid Mohd. (Wahid), Azlee Jaafar (Azlee) dan Mazlan Ahmad atau Lan Pet Pet sudah berkubur meleset sama sekali.

Malah, baru-baru ini Senario dianugerahkan Anugerah Khas Juri dalam Anugerah Lawak Warna anjuran Astro yang diadakan di Teater Diraja Selangor, Shah Alam, Selangor.

Anugerah itu diberikan khusus untuk menghargai dan memberi pengiktirafan kepada kumpulan lawak yang paling awal bertapak dalam bidang seni tanah air itu.

Berkesempatan bertemu mereka usai majlis itu baru-baru ini, Kosmo! bertanya khabar tentang perkembangan terkini kumpulan itu.




Kosmo!: Tahniah Senario. Apa perasaan kalian apabila dinobatkan dengan Anugerah Khas Juri dalam Anugerah Lawak Warna ini?

SENARIO: Pertama sekali, syukur Alhamdulillah dengan penganugerahan ini. Setelah sekian lama kami dalam industri seni, kami anggap sebagai pengiktirafan ini sebagai satu anugerah. Tiada kata-kata yang dapat diungkapkan ketika kami disebut sebagai penerima anugerah yang cukup bermakna ini. Kami bersyukur kerana masih ada pihak yang menghargai bakat seni kami. Setidak-tidaknya, usaha dan kerja keras kami selama bergelar anak seni tidak dipandang sepi oleh semua.

Apa pandangan kalian tentang kehadiran pelawak pelapis masa kini? Adakah mereka dilihat mampu membawa potensi yang besar kepada bidang lawak di negara ini?

Selepas kami semua menyertai Sinaran Pasport Kegemilangan sekitar 20 tahun yang lalu, pada masa kini, baru muncul pelbagai program baharu yang mencungkil bakat dalam bidang lawak seperti Raja Lawak. Perkara sebegini sangat bagus kerana selalunya, lambakan program realiti yang ada sebelum ini adalah program nyanyian dan lakonan tetapi kini semuanya sama rata. Program lawak seperti sebenarnya boleh mencari bakat baharu selain melatih mereka menjadi pelawak pelapis pada masa akan datang. Siapa tahu pada masa hadapan, akan muncul kumpulan Senario yang baharu. Ya, pada kami, lagi ramai pelawak lagi bagus.

Senario sekarang hanya dianggotai oleh tiga orang ahli. Jadi, boleh kongsikan apakah perkembangan terbaharu kalian sekarang?

Sebenarnya, masing-masing masih ada dalam industri ini walaupun tidak selalu muncul di layar televisyen mahupun mana-mana media seperti dahulu. Namun, kami masih menerima jemputan untuk mengadakan persembahan. Selain itu, kami juga akan muncul dengan siri kartun terbaharu yang berjudul Senario Toons. Siri kartun itu merupakan sebuah siri animasi yang mengadaptasi cerita tentang kumpulan kami dalam pelbagai kisah dari usia kecil sehingga dewasa.

Selain Senario Toons, bagaimana pula dengan program komedi di televisyen atau filem?

Senario sebenarnya ada rancangan. Kami memang sudah lama mengimpikan untuk kembali bersama menghasilkan sebuah filem baharu. Insya-Allah, kami memang sedang merancang untuk kembali aktif. Bagaimanapun, kami belum pasti adakah kami akan mengumpulkan kesemua ahli yang pernah menganggotai kumpulan ini suatu ketika dahulu ataupun tidak. Semuanya bergantung kepada keadaan kelak.
Previous Post Next Post