Fiffy Natasha nekad kahwin pada usia muda


Fiffy NATASHA kini sah sebagai isteri Muslim Azman, seorang juruterbang.

USIANYA baru 21 tahun, namun pelakon dan penyanyi remaja Fiffy Natasya nekad berkahwin pada usia muda.

Biarpun sedar karier lakonannya berkemungkinan akan perlahan selepas berkahwin tetapi pelakon filem Cinta Kolestrol itu tetap membulatkan hati untuk berumah tangga.






Fiffy dan pasangannya, Muslim Azman, 27, seorang juruterbang di sebuah syarikat penerbangan komersial bernikah pagi 29 September lalu di kediaman keluarga Fiffy di Putra Heights, Subang, Selangor. Ia diikuti dengan majlis persandingan sebelah malam pada hari sama di Dewan Sri Melati, Presint 3, Putrajaya.

“Saya sebenarnya tidak merancang untuk berkahwin awal tetapi jodoh saya telah ditetapkan oleh Allah. Alhamdulillah, saya yakin telah dipertemukan dengan lelaki yang baik,” ungkapnya mesra ketika ditemui pada majlis persandingannya malam itu.

Soal karier, kata Fiffy yang mula bertudung penuh sejak bulan Ramadan lalu, dia sudah sedia maklum akan kesannya.

Dia juga sudah berbincang dengan suaminya mengenai hal itu (berlakon).

“Kahwin dan karier adalah dua perkara yang berbeza. Biasalah kalau kita kahwin, karier lakonan itu mungkin akan perlahan. Sebabnya, saya terpaksa memilih watak.

“Saya juga harus mengutamakan tanggungjawab sebagai isteri.

“Alhamdulillah, suami tidak menghalang untuk terus berlakon, namun dia meminta saya agar memilih watak yang bersesuaian dengan status sebagai seorang isteri,” getusnya.

Kena buatan orang

Berkongsi detik perkenalan dengan suami, Fiffy memberitahu, dia mengenali suaminya melalui laman Twitter dua tahun lalu.

“Saya berkenalan dengan dia dua tahun lepas melalui Twitter. Selepas itu, kami bertemu di sebuah majlis sambutan hari jadi abang ipar saya. Sejak itu, kami mula tertarik antara satu sama lain,” akuinya jujur.

Fiffy juga mengakui bertudung disebabkan permintaan suami, malah hatinya juga terbuka untuk bertudung penuh selepas dikatakan terkena buatan orang tahun lalu.




Akibat daripada terkena buatan orang itu, badan Fiffy menjadi susut dan pemikirannya juga kosong.

“Selain permintaan suami dan ibu, saya berniat untuk memakai tudung disebabkan hati saya sudah terbuka. Lebih-lebih lagi selepas saya dikatakan terkena buatan orang. Selama 10 hari saya menderita sakit. Badan menjadi susut dan pemikiran saya juga kosong.

“Mujur, suami yang ketika itu kekasih saya tidak pernah berundur dan terus menerima diri ini seadanya,” jelas Fiffy enggan mengulas lanjut peristiwa hitam yang berlaku dalam hidupnya itu.

Bakal muncul menerusi drama Ema Emyliana musim kedua di TV3, Fiffy turut disoal mengenai perasaannya berkahwin dengan seorang juruterbang.

Sedar hakikat pekerjaan suaminya itu tinggi risikonya, namun, Fiffy terima qada’ dan qadar Allah.
Previous Post Next Post