Almy Nadia Belum masa saya kembali


BAHAGIA. Walaupun tidak lagi aktif berlakon buat masa ini, namun Almy bahagia menjadi suri rumah sepenuh masa dan menguruskan suami serta anak mereka, Nur Afrina Ariana yang kini berusia setahun dua bulan.

Selepas mendirikan rumah tangga pada 30 Mei 2014 dengan aktor Fizz Fairuz dan menimang cahaya mata sulung, Nur Afrina Ariana pada 16 Februari tahun lalu, pelakon Almy Nadia mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada bidang lakonan.

Pemilik nama penuh Almy Nadia Aminuddin Shah, 30, itu berkata, meskipun mengakui ada terselit perasaan rindu terhadap dunia lakonan, namun pelakon filem Dunia Baru The Movie berserah kepada masa dan keadaan. Jika diizinkan, dia pasti akan kembali meneruskan karier selepas hampir dua tahun berehat.

Ikuti temu bual bersama pelakon kelahiran Pulau Pinang itu ketika ditemui dalam majlis ramah mesra selebriti sempena Hello Kitty Go Around di Viva Home, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Artis Meletop!: Boleh Almy kongsikan pengalaman menjadi suri rumah sepenuh masa ketika ini.

ALMY NADIA: Jujur saya katakan, menjadi suri rumah sangat memenatkan dan tidak keterlaluan jika saya katakan menguruskan rumah tangga lebih meletihkan berbanding bekerja di lokasi penggambaran. Setiap hari, asal buka mata ada sahaja kerja mahu dibuat dan ia seperti tidak akan pernah habis.

Setiap hari kena menguruskan anak daripada segala segi seperti memandikan, memberi makan dan pakai termasuklah memasak, mengemas rumah, membasuh pakaian, kelengkapan suami dan sebagainya.

Kadang-kadang, mahu makan pun terpaksa tangguh sebab ada benda yang mahu dibuat. Apatah lagi mahu keluar pergi bercuti contohnya. Memang tidak sempat (ketawa).

Mengapa tidak mengambil inisiatif menggunakan khidmat pengasuh atau orang gaji?

Bukannya tidak mahu upah pengasuh atau ambil orang gaji, tetapi saya tidak mahu membiasakan diri dengan membiarkan semua kerja termasuk makan pakai dan anak-anak diuruskan orang gaji. Lagipun saya bukan orang senang. Walaupun bergelar artis, kami sama sahaja seperti orang biasa. Jadi, lebih baik jaga sendiri anak daripada membiarkan dia membesar di tangan orang lain. Sebab saya risau, nanti apabila sudah besar semua perkara dia buat akan merujuk kepada orang gaji bukannya ibu sendiri. Lagipun, kes-kes penderaan yang banyak berlaku sekarang juga menjadi salah satu punca mengapa saya tidak berani mengambil risiko.

Bercakap soal karier, bila agaknya anda akan kembali berlakon.

Tengok keadaan. Kalau masa mengizinkan, mungkin setahun dua lagi. Sebab saya masih belum bersedia membiarkan anak membesar jauh dari mata, lagi pun sekarang dia masih lagi menyusu badan.

Adakah anda sebenarnya merajuk memandangkan sebelum ini isu berat badan sering menjadi bahan kritikan orang ramai.

Saya bukannya merajuk, tetapi keadaan industri yang selalu mengutamakan rupa paras dan populariti membuatkan saya tidak berminat untuk kembali berlakon dalam masa terdekat.

Lagipun, lambakan pelakon baharu menyedarkan saya bahawa zaman sudah berubah. Dahulu lain, sekarang lain. Dahulu, pemilihan pelakon semuanya di bawah kuasa pengarah, tetapi sekarang tidak. Bukan juga soal berat badan. Kalau mahu kata saya masih gemuk, sebenarnya berat saya sudah banyak susut, walaupun tidaklah selangsing dahulu sebelum ada anak. Cuma, kalau saya mahu kembali berlakon biarlah masa yang tentukan.

Sekarang masih banyak perkara yang tidak mengizinkan untuk kembali aktif di set penggambaran. Lagi pula, suami tidak pernah bertanya soal itu, sebab dia sendiri paham yang anak mahu ada dengan saya sepanjang masa.

Selain mengurus keluarga, boleh anda kongsikan perkembangan terkini.

Sekarang saya cuba berjinak-jinak dengan dunia perniagaan menjual pakaian kurta lelaki di bawah jenama Fizz Fairuz. Bidang perniagaan sangat berbeza dengan lakonan.

Sepanjang aktif menyertai karnival tapak perniagaan di banyak tempat, saya berpeluang berjumpa dengan orang ramai dan ia membuatkan saya rasa puas dan berasa seronok walaupun sangat penat.

Previous Post Next Post