TRW Sarung Jersi Jenama DSV


Vida menghasilkan jenama DSV khusus untuk pasukan PQPTRW pada aksi Liga Malaysia musim ini.

Selepas menolak jersi pink keluaran Nike, The Red Warriors (TRW) bakal menyarung jersi jenama DSV (Datuk Seri Vida) yang menampilkan rekaan serta kualiti bertaraf lapan bintang bagi menghadapi aksi Liga Malaysia musim ini.

Penaja utama pasukan Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berkata, syarikat kosmetik miliknya, Vida Beauty Sdn Bhd sudah menyiapkan empat rekaan jersi yang akan disarung TRW.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata, terdapat dua jersi yang akan digunakan bagi perlawanan di laman sendiri, masing-masing berwarna merah jambu dan warna tradisi Kelantan, merah.

Katanya, bagi jersi di gelanggang lawan, dua jersi turut disediakan dengan gabungan warna merah jambu dan hitam serta putih sahaja.

"Pasukan pereka saya sudah menyiapkan rekaan untuk keempat-empat jersi itu, cuma sekarang tengah pening bagaimana nak atur kedudukan setiap logo.

"Keseluruhannya ada 12 logo, nak susun atur logo tu yang susah, mungkin sehari dua lagi akan dihantar untuk dicetak," katanya kepada mStar Online.


Malah beliau memberi jaminan jersi tersebut dihasilkan menggunakan kain berkualiti tinggi.

"Penyokong TRW tak perlu bimbang, kualiti jersi boleh dikatakan bertaraf lapan bintang, menyamai kualiti jenama barangan sukan terkemuka dunia.

"Bagi saya apa yang penting rekaan tersebut perlu nampak cantik dan simple, lebih kurang macam jersi Real Madrid," katanya dalam nada berseloroh.

Usahawan kelahiran Machang itu berkata jersi tersebut akan diperkenalkan kepada umum 10 Februari depan.

"Insya-Allah, jersi tersebut akan menemui peminat TRW pada 10 Februari depan. Kita mahu penyokong memakai jersi ini dengan penuh semangat menjelang perlawanan pembukaan Liga Super 2016 pada 13 Februari depan," katanya.

Untuk menghargai sokongan peminat terhadap TRW, Vida berkata, jersi berwarna merah dengan rekaan eksklusif akan dikeluarkan pada April depan.

"Buat masa ini, empat jersi tersebut akan dikeluarkan terlebih dahulu pada Februari, manakala jersi eksklusif berwarna merah dan barangan rasmi TRW akan dipertontonkan kepada umum dalam majlis pelancaran secara besar-besar pada April depan," katanya.

Mengulas mengenai kontrak TRW yang masih lagi berbaki setahun bersama Nike, Vida berkata, isu tersebut sudah diselesaikan secara baik dengan syarikat pengeluar, pengedar dan pembekal barangan Nike di negara ini, HORC Sports Sdn Bhd.

"Kedua-dua pihak sudah mencapai perjanjian persefahaman penamatan kontrak. Jadi sudah tiada lagi isu mengenai kontrak tersebut," katanya.

Namun, beliau berkata, syarikat tersebut akan bertindak sebagai salah satu pengedar produk jenama DSV.

Syarikat Vida Beauty Sdn Bhd akan bertindak sebagai pengeluar, pengedar dan pembekal rasmi jersi dan barangan TRW di bawah jenama DSV.

Previous Post Next Post