Cerita mengandung, Lisa Surihani kunci mulut



Menatap wajah insan seni yang dikenali sebagai Lisa Surihani, nyata dia sedang melalui fasa kehidupan yang cukup membahagiakan. Dalam arena seni, Lisa menjadi tatapan umum, namun di rumah, wanita ini menjadi hak mutlak suami, Yusry Abdul Halim.

Sekalipun belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata, perkahwinan Lisa dan Yusry yang bakal menginjak tiga tahun pada 24 Februari depan, dilalui dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

Tidak mahu melawan takdir Tuhan, Lisa tidak mahu terlalu membebankan dirinya memikirkan ketentuan hidup yang bakal diterima termasuk soal cahaya mata. Cuma baru-baru ini kecoh mengenai kononnya Lisa sudah berbadan dua.

Malah di laman Instagram miliknya, sudah ramai yang mengucapkan tahniah biarpun kesahihan cerita mengandung itu belum disahkan empunya diri. Apa pun ia umpama doa buat Lisa dan Yusry. Saat ini pun Lisa memilih untuk berdiam diri.

Ketika ini, calon awal kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2014 itu menghargai apa saja yang ada di depan mata termasuk pengarang jantung hatinya itu. Di mata Lisa, suaminya itu dilihat cukup sempurna.

Terlanjur membicarakan filem terbaharu lakonannya, Suamiku Encik Perfect 10! terbitan Global Station Sdn Bhd dengan kerjasama Tayangan Unggul-Astro Shaw, Lisa menyenaraikan 10 ciri sempurna yang dimiliki Yusry.




Bagi Liza, dia dapat rumuskan Yusry adalah lelaki budiman, penyabar, rajin, merendah diri dan penyayang. Saya percaya itu antara ciri asas yang dimiliki mana-mana manusia.

Mungkin juga ada yang tidak tahu, di sebalik sikapnya yang kuat bekerja dan komited dengan kerja, dia sebenarnya individu yang berorientasikan keluarga. Lisa yakin ramai yang sedar betapa kuatnya Yusry bekerja.

Selain itu, ciri lain yang menambat hati Lisa adalah kepintaran Yusry. Dia suami yang sensitif. Ada sisi manis dalam dirinya. Dia selalu memandang sesuatu perkara itu daripada sudut yang positif.

"Akhir sekali, dia penuh dengan kejutan," kata Lisa yang memegang peranan Aleeya Azmeen dalam filem Suamiku, Encik Perfect 10! arahan Feroz Kadir. Filem itu mula menemui penonton, Khamis lalu.

Tambah Pelakon Wanita Terbaik di (FFM) Ke-26 menerusi filem Istanbul Aku Datang ini, sekalipun dia dan suami sibuk dengan agenda seni masing-masing, ia tidak langsung menghalang mereka meluangkan masa bersama.

Kata Lisa lagi, beliau dan Yusry akan berusaha mencari masa senggang untuk berdua-duaan. Itu adalah satu cara untuk mengeratkan hubungan mereka. Bagi Lisa, kesibukan tidak wajar dijadikan alasan mengabaikan pasangan.

Yusry gemar berbual dan bukanlah pendiam seperti yang disangka orang luar. Ada saja topik perbualan termasuk isu semasa membabitkan negara. Pendek kata, kami bebas berkongsi apa saja topik yang terdetik di fikiran. Yusry juga tak pernah jemu menimba ilmu. Itu antara sikap yang paling dikagumi Lisa. Saban hari ada saja perkara baharu yang dipelajarinya dan dia tidak lokek untuk berkongsi.

"Sikap dan sisi positifnya itu menjadi inspirasi untuk saya bermuhasabah diri. Setinggi mana dia berjaya, Yusry berpijak di bumi nyata. Dari awal saya kenal hingga saat ini, dia sangat gigih mencapai impian. Suami adalah idola saya dan saya mahu cemerlang sepertinya juga," katanya.

Serasi berlakon dengan Aaron

Mengintai sudut kerjaya seni terutama sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Lisa menunjukkan peningkatan ketara hingga muncul sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23).

Deretan filem lakonannya kebelakangan ini seperti Ombak Rindu, Saya Amat Mencintaimu (SAM) dan Istanbul Aku Datang mengukuhkan profil seninya. Watak Aleeya dalam filem Suamiku, Encik Perfect 10! juga mampu membuatkan dirinya terbang tinggi.

Menerusi filem adaptasi novel dengan judul sama yang turut dibintangi Syazwan Zulkifly, Normah Damanhuri, Raja Ilya dan Jehan Miskin, Lisa sekali lagi dipertemukan dengan Aaron Aziz yang memegang watak Zarief Danial. Kali pertama mereka berlakon sama adalah menerusi filem Ombak Rindu.

Dinamik perhubungan dalam jalan cerita filem ini banyak membantu dalam melahirkan keserasian bersama Aaron. Lisa terkejut dan tak sangka apabila orang mengatakan mereka berdua ada keserasian dalam filem itu. Bagi Lisa kerja atau komitmen yang dibuat perlu ikhlas.

"Saya sebenarnya tidak membaca novel sebagai panduan atau kajian tetapi saya serahkan kepada pengarah untuk memberi bimbingan kepada saya berdasarkan visual yang ditetapkannya. Mengikut perancangan awal cerita ini mahu dijadikan drama bersiri.

"Bagaimanapun penerbit menukarnya kepada format filem. Justeru durasi filem yang singkat, saya tiada masa yang cukup untuk membaca dan mengkaji karakter Aleeya Azmeen.

"Datuk Siti Nurhaliza dan Cakra Khan turut menyumbangkan suara mereka untuk lagu tema filem ini berjudul Seluruh Cinta," katanya yang sedang menunggu tayangan filem Cicakman 3 arahan Yusry dan Ghaz Abu Bakar menampilkan antara lain Zizan Razak dan Fizz Fairuz.

10 ciri kesempurnaan Yusry pada mata Lisa:

Budiman
Merendah diri
Komited
Bekerja keras
Mengutamakan keluarga
Pintar
Sensitif
Penyayang
Manis
Penuh dengan kejutan



Previous Post Next Post