Zizan Razak kunci mulut



SEJAK beberapa minggu ini, nama Zizan Razak mula menjadi perhatian dek kerana beberapa kontroversi yang melandanya.

Bermula dari isu cintanya bersama Emma Maembong, sehinggalah 'ditegur' Fazura kerana menjawab ketika Fazura yang bertindak sebagai juri Maharaja Lawak Mega memberi komen kepada Virus baru-baru ini, Zizan terus-terusan di buru media untuk mendapatkan kenyataannya.

Dia yang pada mulanya muncul di program Anugerah Meletop Era pada petang kelmarin dilihat cuba melarikan diri apabila meninggalkan majlis lebih awal.

Bagaimanapun Zizan yang hadir pada pelancaran filem Cicakman 3 di Pavilion, Kuala Lumpur, memberi peluang sekali lagi kepada media untuk bertanyakan perihal sebenar.

"Saya tak lari dari media, tak ada sebab untuk saya lari. Cuma selepas selesai sidang media petang tadi (kelmarin), saya dimaklumkan majlis sudah selesai dan saya boleh pulang.

"Jadi mengenangkan saya ada pelancaran malam ini, saya terfikir untuk pulang ke rumah menukar pakaian, tapi tak sempat juga kerana jalan sesak," jelasnya.




Di tebak mengenai kontroversi yang melandanya, Zizan yang pada mulanya bersedia untuk memberi komen, mengambil pendirian untuk menutup mulut setelah dinasihati oleh pengurusnya untuk berbuat demikian.

"Saya mohon maaf kerana tidak dapat memberi komen lanjut. Saya mohon maaf sekali lagi," katanya yang sebelum itu sempat mengatakan tidak menyalahkan Fazura atas kontroversi yang berlaku.

Bagaimanapun, Zizan sebelum itu tidak keberatan untuk memberi komen berkaitan isunya bersama Virus yang dikatakan sering bertelagah dan tidak sependapat.

Lebih buruk lagi, kumpulan Virus yang turut dianggotai oleh Yus dan Tauke Raja Lawak dikatakan jarang dapat berbincang mengenai tugasan mereka, menyebabkan mereka gagal memberikan persembahan yang baik.

"Orang yang kata kami bermasalah, tapi hakikatnya tidak. Kami sentiasa bincang dan berkongsi idea apa yang akan dipentaskan pada setiap minggu.

"Tapi saya akui ada ketikanya kami sukar capai keputusan kerana masing-masing ada pendapat. Namun tidaklah sampai ke tahap bergaduh," jelasnya yang enggan menjawab bahawa kumpulan Virus masih selamat kerana konspirasi daripada Astro.



Previous Post Next Post