Di sebalik keterujaannya untuk berkahwin, Chichi mengaku ada timbul masalah.
SENYUMANNYA sarat dengan rasa cinta. Maklumlah, kurang dua minggu lagi bakal disatukan dengan kekasih hati. Bak kata orang darah tengah manis, wajah pun semakin berseri.
Begitulah ibaratnya gambaran buat pelakon Puteri Fateen Nasuha atau Puteri Chichi, 24, yang kini berdebar-debar menanti saat diijab kabulkan sebagai isteri kepada Nazir Azmar, 28, pada 14 Februari ini.
Bagaimanapun di sebalik keterujaan untuk menempuh hari bahagianya itu, Chichi mengaku ada dugaan yang terpaksa ditempuhi yang benar-benar menguji kesabarannya.
Meskipun telah menemui penyelesaian dan kad kahwin juga telah diedarkan, Chichi bagaimanapun tidak akan melupakan pengalamannya berdepan dengan masalah tempahan dewan yang menjadi isu paling mengentarkan dirinya.
Berkongsi cerita mengenai tekanan yang dihadapi sebelum ini kata Chichi, dia dan tunangnya nyaris menukar tarikh majlis perkahwinan gara-gara memikirkan tindakan pihak pengurusan dewan sebelum ini yang dilihat umpama lepas tangan dan tidak bertanggungjawab.
Luah Chichi, isu mula timbul apabila pihak pengurusan dewan tersebut tidak memberi sebarang maklumat dan maklum balas terkini kepadanya biarpun tempahan dewan tersebut telah dibuat dua tahun lalu.
"Saya tak akan jadi begitu risau kalau majlis kahwin lambat lagi. Majlis pernikahan saya akan berlangsung pada 14 Februari ini. Jadi bayangkan, berapa lama masa yang saya ada untuk mencari dan mendapatkan dewan baru?
"Saya tak sangka pihak pengurusan tersebut buat saya macam itu sedangkan sebelum ini mereka yang beriya-iya memberi lampu hijau untuk saya menempah dewan tersebut selain mahu membantu (majlis) saya," ujar Chichi.
Menurutnya, masalah mula timbul apabila tiada maklum balas daripada pihak terbabit dan apabila ditanya, mereka seolah-olah berdolak dalih.
"Kadang-kadang apabila dihubungi, panggilan langsung tidak berjawab," katanya.
Enggan mendedahkan lokasi sebenar kata Chichi, dia mengaku pada awalnya meletakkan kepercayaan penuh terhadap pihak pengurusan dewan berkenaan yang ditemuinya pada sebuah karnival perkahwinan yang diadakan di ibu kota.
Kata Chichi, pihak pengurusan dewan pada peringkat awalnya beria-ia mahu menaja dewan untuk majlis perkahwinannya dan hal itu telah dipersetujui oleh Chichi dan tunangnya yang tentu sekali berbesar hati dengan tawaran tersebut.
Bagaimanapun pihak tersebut mula membuat hal dan menimbulkan keraguan apabila secara berkala meminta dia dan tunangnya untuk membayar sejumlah wang yang didakwa untuk digunakan membeli barangan hiasan dewan dan sebagainya.
"Saya tak nak cakap banyak bimbang dikatakan banyak songeh, Jadi saya ikutkan saja. Namun apabila difikirkan semula, kenapa mereka minta bayar itu ini sedangkan katanya mahu menaja kami. Sebagai membalas budi mereka, saya juga bersetuju untuk membenarkan wajah saya digunakan di banting dan sebagainya bagi tujuan promosi syarikat mereka.
"Saya jadi semakin bengang apabila cuba dihubungi, mereka cuma mendiamkan diri. Lepas itu saya dapat tahu, mereka bercakap-cakap mengenai hal saya di belakang seolah-olah mengutuk terutama di laman sosial Facebook.
"Rasanya saya tak ada masalah dengan mereka, jadi kenapa perlu memalukan saya di situ?" ungkapnya.
Masih sibuk dengan aktiviti lakonan biarpun âhari besarnyaâ semakin hampir, Chichi mengaku lega apabila hal itu telah diselesaikan.
Bercerita lanjut, Chichi mengaku ada terfikir untuk menunda majlis perkahwinannya gara-gara hal dewan itu.
"Biasanya orang tempah dewan enam bulan lebih awal dari tarikh majlis. Kadang-kadang setahun lebih awal. Bukan hal senang. Saya ini dah nak kahwin esok lusa.
"Masa itu saya terfikir, kalau keadaan melarat saya terpaksa menunda tarikh majlis. Bayangkan kad telah dicetak, satu hal pula saya nak jelaskan pada tetamu jemputan.
"Saya juga ada terfikir, kalau pun akhirnya mereka hubungi saya kembali, saya dah jadi tawar hati untuk terus dengan perancangan asal membuat majlis di situ. Mana tahu ada lagi perkara yang tak diingini berlaku.
"Mujurlah saya akhirnya dapat mencari dewan lain, lega..." katanya.
Drama muzikal
Dalam pada itu kata Chichi, dia bersyukur kerana meskipun sibuk dengan aktiviti lakonan, dia berupaya menyiapkan semua kelengkapan untuk majlis perkahwinannya itu.
Bakal mengejutkan tetamu majlis dengan tema drama muzikal kata Chichi, idea itu timbul memandangkan belum ada yang pernah mengadakan majlis perkahwinan dengan tema tersebut.
"Saya suka idea itu kerana kena dengan jiwa saya. Saya tahu itu adalah sebuah majlis perkahwinan tapi tak salah rasanya kita ada tema sekadar untuk suka-suka. Lagipun saya mahu tetamu rasa terhibur dan tak rasa bosan pada majlis saya itu nanti.
"Drama muzikal itu akan dipersembahkan oleh teman-teman saya yang belajar di ASWARA. Saya sendiri tak tahu apa yang akan mereka persembahkan sebab mereka mahu beri kejutan," kata penyanyi lagu Cobalah Mengerti yang menjadi lagu runut bunyi drama Dia Yang Terpilih siaran TV9 ini.
Mengenai tarikh yang dipilih kata Chichi, dia tidak berniat untuk mengadakan majlis dan mengaitkannya dengan Hari Valentine.
"Tarikh itu jatuh pada hari Jumaat. Bapa saya dah beritahu awal-awal, dia minta saya nikah pada hari Jumaat. Jadi tarikh itu yang dilihat sesuai. Bukan untuk meraikan Hari Valentine pun," tambahnya.